Olympics, Rio 2016

Tiada sasaran tertentu untuk Olimpik – Khairy Jamaluddin

Kementerian Belia dan Sukan tidak meletakkan sasaran khusus untuk kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Rio bulan hadapan, ujar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, walaupun tiada sasaran khusus, tetapi harapan pingat negara tentunya terletak pada tiga acara iaitu, badminton, lumba basikal (trek) dan acara terjun.

Sukan Olimpik Rio akan bermula pada 5 Ogos ini.

“Saya tidak mahu meletakkan tekanan yang tidak perlu kepada atlet dengan meletakkan sasaran khusus..

“Namun, Kementerian Belia dan Sukan percaya dan kekal yakin bahawa ada sebilangan atlet yang akan menunjukkan aksi baik dan naik ke podium di Rio,”ujar beliau kepada wartawan selepas upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Olimpik dan Paralimpik negara oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara semalam.

Sementara itu, Khairy turut memuji raja pecut baru negara, Khairul Hafiz Jantan, yang memecahkan rekod 18 tahun acara 100m yang dicatatkan oleh pelari Sarawak,Watson Nyambek.

Beliau berkata, kejayaan dan catatan masa yang dicipta Khairul akan meletakkan beliau sebagai pilihan untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA 2017 yang akan dianjurkan Malaysia.

“Apabila kita melihat catatan masa pemenang di Sukan Sea Singapura, kita ada sebab untuk merasa yakin. Catatan masa pemenang di Singapura adalah 10.25s dan rekod Sukan SEA adalah 10.17s sementara Khairul mencatatkan 10.18s,” ujar beliau.

Khairy menambah bahawa dia akan mencadangkan untuk Khairul menyertai Program Podium yang menyasarkan untuk memenangi pingat emas di Sukan SEA 2017.

Other posts by