Pemenang Anugerah Puskas bersara untuk menjadi ‘Video Gamer’ profesional

0
Photo credit: Sportskeeda.com

Wendell Lira menggantungkan butnya untuk FIFA 17.

Pemenang Anugerah Puskas 2015 mengumumkan dia bersara dari bola sepak semalam untuk mengejar kerjaya dalam bidang permainan video.

Bekas pemain Goianesia itu menjadi sebutan selepas merangkul anugerah jaringan terbaik 2015 dengan satu tendangan ’ bicycle kick ‘ ketika menentang Atletico Goianiense.

Kini, enam bulan selepas memenangi anugerah berkenaan, dia kembali menjadi sebutan dengan satu berita yang tak dijangka.

Namun, keputusan yang dibuatnya bukan secara tiba-tiba. Bercakap kepada Globoesporte.com, penggila permainan FIFA berusia 27 tahun itu berkata beliau sudah lama mengimpikan menjadi seorang ‘gamer’.

“Saya mentakrifkan hidup saya dalam dua impian – satu yang mungkin dan satu lagi hampir mustahil,” kata Lira kepada media Brazil itu. Salah satunya adalah menjadi seorang pemain bola sepak dan memiliki kejayaan, sesuatu yang sangat sukar, kerana dalam bola sepak Brazil, ianya sukar untuk menjadi pemain bola sepak profesional. Bahkan 95 peratus pemain dari Brazil mengalami kesulitan. Saya hidup 15 tahun dengan bola sepak, dan saya ada masa yang baik dan buruk.

“Ada pengalaman manis yang saya tak akan lupakan. Saya bermain bersama pemain bintang juga. Saya beruntung kerana berjaya mencapai sesuatu dalam bola sepak. Dan saya sering mengimpikan untuk menjadi seorang ‘gamer’, saya sering mempunyai keinginan untuk mencubanya.

“Ianya hampir mustahil untuk berhenti bermain bola sepak untuk hidup sebagai seorang ‘gamer’, tetapi Tuhan berikan saya peluang.

“Ianya bukan pengakhiran kepada satu mimpi. Bahkan, Tuhan telah berikan saya peluang untuk mendapat kerjaya ini sebagai susulan dalam hidup saya, merasa gembira dan teruskan dengan senyuman.”

Lira bukan calang-calang ‘gamer’. Sebelum ini Lira pernah membelasah Juara FIFA Interaktif Dunia, Abdulaziz Alshehri 6-1 dalam satu perlawanan persahabatan di antara mereka.

Dia juga bercadang untuk mempunyai satu saluran youtube yang menunjukkan beliau bermain permainan video.

Lira turut berkata bahawa kecederaan yang berulang juga merupakan salah satu sebab persaraan beliau.

Adakah satu hari nanti kita akan melihat pemain Malaysia pula bersara kerana ingin menjadi ‘Video Gamer’?