Hockey

TNB guna khidmat pemain tempatan menjelang musim baru MHL

Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya menjelang Liga Hoki Malaysia (MHL) yang akan bermula bulan hadapan.

Sebelum ini, TNB bercadang untuk menggunakan pemain asing untuk membantu mereka menjulang trofi MHL yang sudah lama tidak dimenangi mereka. Namun, selepas berfikir panjang, juara liga tiga kali itu menukar fikiran mereka dan percaya mereka masih mampu bersaing dengan tenaga anak tempatan.

“Kami akan menjadi pasukan underdog kerana pasukan lain mempunyai pemain asing. Tetapi kami yakin pemain tempatan mampu melakukan tugas dengan baik,” jelas pengurus pasukan TNB, Adam Izamry Idrus.

Musim ini, tiga kejuaraan akan menjadi rebutan dengan pengenalan Kejohanan kalah mati baru yang melibatkan pasukan dari Divisyen Perdana dan Divisyen Satu.

“Kini kita mempunyai tiga peluang berbanding dua untuk memenangi kejuaraan. Ianya tidak mustahil. Kami boleh mengambil inspirasi dari upset yang berlaku di Piala Razak dan Sukma Sarawak baru-baru ini (di mana Perlis dan Pulau Pinang mara ke perlawanan akhir).

“Kami perlu percaya dengan kebolehan kami dan mencuba. Setiap perlawanan adalah penting. Kami perlu bermula dengan baik dan berjuang hingga ke akhir,” tambah Adam.

Mohamed Amin Rahim, bekas pemain kebangsaan dan pakar penalti korner, telah ditugaskan untuk membawa kembali kejayaan kepada TNB. Ini akan menjadi tugasan besar pertamanya sebagai seorang jurulatih. Sebelum ini dia merupakan pembantu jurulatih pasukan remaja kebangsaan selama tiga tahun. Dia kini merupakan pembantu kepada pasukan pembangunan kebangsaan yang dilatih oleh Wallace Tan.

“Sebagai seorang pemain, Amin memenangi banyak kejuaraan. Dia tahu apa yang perlu dibuat untuk bermain di MHL. Saya pasti Amin akan menjadi seorang jurulatih yang bagus,” ujar Adam.

Divisyen Premier akan bermula pada 19 Ogos dengan TNB memulakan saingan menentang Maybank.

Selain TNB dan Maybank, turut bersaing dalam Divisyen Premier adalah Terengganu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Sapura.

Other posts by