Others, Rio 2016

Shazrin cipta sejarah baru untuk sukan kapal layar di Malaysia

Satu lagi sejarah tercipta tahun ini dalam sukan Malaysia apabila kita memiliki wakil wanita pertama dalam acara kapal layar apabila anak kelahiran Pasir Gudang, Nur Shazrin Latif layak ke Rio.

Gadis berusia 17 tahun ini menunjukkan aksi cemerlang untuk merangkul pingat perak di belakang peserta Thailand Kamolwan Chanyim dalam acara Laser Radial di Kejohanan Kapal Layar Asia di Abu Dhabi, sekaligus menempah tiket ke Olimpik Rio.

Shazrin membuat keputusan menyertai sukan ini kerana kakaknya,Nurliyana merupakan seorang peserta acara kapal layar. Ketika kecil, dia sering mengikut kakaknya dan Shazrin tidak boleh duduk diam.

“Saya seorang budak yang hyper,” kata Shazrin.

“Oleh sebab itu, ibu saya membuat keputusan untuk membiarkan saya mengikut kakak saya. Walaupun saya menunjukkan kebolehan dalam sukan lain di sekolah, ibu saya membuatkan saya memberi tumpuan kepada acara kapal layar. Dia sememangnya inspirasi saya,” tambah Shazrin.

Di saat dia menjadi tumpuan, tiada apa yang mengejutkan Shazrin. Dia tidak meletakkan harapan terlalu tinggi tetapi mensasarkan untuk menjadi peserta terbaik di kalangan wakil Asia.

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya bahawa saya akan layak ke Olimpik dalam cubaan pertama,” ujar beliau.

“Namun, sekarang apabila saya sudah layak saya rasa sedikit gementar. Kemeriahan di sekitar saya selepas layak mengejutkan saya tetapi ia tidak mengganggu saya. Apa yang saya tahu, penyertaan saya ini merupakan salah satu proses pembelajaran untuk saya,” ujar beliau.

“Kita tidak punya banyak peluang untuk ke Brazil banyak kali dalam setahun untuk menguji tempat bertanding seperti negara lain. Walaupun kita lakukannya, cuaca dan ombaknya mungki berbeza bulan ini.

“Dengan semua peserta terbaik dunia menyertainya, sasaran saya adalah untuk memerhati mereka, belajar dari mereka dan mengambil sebanyak mungkin pengalaman yang boleh,” kata Nur Shazrin.

Nur Shazrin kini di bawah tunjuk ajar Mohd Afendy dan masa depan anak gadis ini dilihat cerah.

Afendy mengamburkan pujian kepada pasukan kapal layar dan mengatakan Malaysia mungkin mempunyai wakil lebih ramai jika tidak kehilangan beberapa mata kepada Singapura.

“Sukan kapal layar semakin berkembang di Malaysia, terutamanya di Langkawi di mana ia merupakan sukan nombor satu,” kata Afendy.

“Saya mahu sukan kapal layar menjadi sukan nombor satu di Malaysia dan saya jangka dalam tempoh empat tahun, Malaysia akan menghantar empat wakil ke Olimpik Tokyo.

Other posts by