Berita baik buat Malaysia apabila Karate tersenarai di Olimpik Tokyo

0
Photo credit: NST.com.my

Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) gembira apabila sukan berkenaan diterima untuk sertai Sukan Olimpik.

Karate bersama sukan lain seperti papan luncur (skateboarding), luncur ombak, wall climbing dan baseball/softball telah disahkan sebagai lima sukan baru yang akan dipertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kesemua lima acara sukan telah diundi dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa Eksekutif Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) pada hari Rabu.

Lima sukan berkenaan, melibatkan 18 acara dan beratus atlet, tidak akan menggantikan mana-mana dari 28 acara yang telah dijadualkan di Tokyo.

Karate dijangka akan mempunyai acara paling banyak – lapan (enam untuk kumite dan dua acara kata) – menurut cadangan kepada penganjur Olimpik Tokyo dan akan diadakan di Arena Tokyo Budokan.

“Komuniti Karate, termasuk kami, telah berusaha keras untuk menyokong penglibatan di Olimpik,” jelas setiausaha Maka, Vincent Chen.

“Kami gembira akhirnya ia tersenarai selepas percubaan kami di tiga Olimpik gagal.

“Ia merupakan salah satu acara sukan yang memberi kelebihan kepada Malaysia kerana saya percaya kita mempunyai atlet yang mampu bersaing dengan atlet terbaik dunia ketika itu.

“Kami sudah membentuk jawatankuasa latihan yang mensasarkan untuk menghasilkan atlet yang mampu layak ke Olimpik.

“Sasaran kami adalah untuk menghasilkan pemenang pingat Olimpik..jika boleh pemenang pingat emas.

“Kami telah menarik atlet berusia di antara 16 dan 17 tahun serta membahagikan mereka kepada dua kumpulan latihan.

“Dari dua kumpulan inilah kami berharap akan melahirkan yang terbaik untuk layak ke Olimpik.

“Saya sedar bahawa had adalah 10 peserta untuk setiap acara, oleh itu tahap kelayakan akan menjadi tinggi.”

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar, yang berada di Rio untuk sesi IOC, berharap Karate akan menjadi salah satu sukan di mana Malaysia mempunyai harapan realistik untuk merangkul pingat di Tokyo.

“Kami menjangka Karate akan diterima kerana sukan berkenaan berasal dari Jepun,” kata beliau.

“Malaysia merupakan kuasa besar Karate di Sukan SEA dan sering membawa pulang emas di Sukan Asia. Kini, kita boleh fokus apa yang perlu dilakukan untuk menang di peringkat Olimpik.”

Dengan tersenarainya sukan Karate, ia memberikan harapan kepada atlet seperti Syakilla Salni Jefry Krisnan dan peserta acara Kata lelaki, Hoe Thomson, Emmanuel Leong dan Ricky Leong untuk menyempurnakan impian mereka menjadi atlet Olimpik.