Kenapa Bolasepak Malaysia perlukan ‘Dasar Pandang Ke Bundesliga’

0
Photo Credit: Bundesliga

Originally written in English. Translated by Khairul Nizam

Liga Perdana Inggeris. Anda boleh berdebat banyak kali mengenai kualitinya, namun anda tak dapat nafikan kehebatan teknik pemasarannya. Secara rasmi, ia merupakan liga yang paling ditonton di Asia. Namun, apabila bolasepak Asia mula berevolusi dan membangun, perhatian mula diberikan kepada jerman dan Bundesliga – liga yang semakin cepat menjadi pusat untuk pemain Asia.

Shinji Kagawa, Makoto Hasebe dan juga Atsudo Uchida adalah antara nama yang bermain di Bundesliga – bahkan pemain seperti Son Heung-min dan Shinji Okazaki juga antara yang pernah bermain di sana. Dijangka semakin ramai yang akan berhijrah ke Jerman dalam tempoh beberapa tahun akan datang, apabila pencari bakat mula mencari bakat baru di Asia Timur.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa Asia Tenggara merupakan sebahagian besar pasaran Asia – rantau yang dipenuhi bakat yang hebat yang dihalang oleh sistem teruk dan masalah birokrasi – yang dilihat tidak akan berakhir.

dortmund freiburg shinji kagawa

Namun, dengan Thailand yang dilihat mula membuktikan mereka merupakan salah satu kuasa besar Asia dan kebangkitan kecil Johor DT di Malaysia, keadaan mula kelihatan positif dan mungkin tidak lama lagi pemain muda dari rantau ini akan mula dihantar ke Eropah untuk pembangunan. Dan menurut seorang pemain legenda Jerman, Bundesliga sepatutnya diletakkan sebagai pilihan utama.

“Bolasepak Jerman mempunyai persamaan yang banyak dengan bolasepak Asia. Mereka mungkin bertubuh kecil, tetapi mereka rajin, dan ia sesuai dengan corak permainan Jerman,”ujar Lothar Matthaus, ketika kami berkesempatan berbual dengannya di Dusseldorf baru baru ini.

Seperti yang dikhabarkan oleh penulis terkenal Jerman, Uli Hesse, Bundesliga merupaka liga pertama Eropah yang menerima pemain dari Jepun dan Korea Selatan – Yasuhiko Okudera dan Cha Bum-kun pada tahun 1977. Itu membuatkan Bundesliga menjadi liga ‘contoh’. Pemain Asia kini mempunyai pemain yang boleh dipandang tinggi dan Jerman memainkan peranan penting. Itu membolehkan mereka mengatasi Liga Perdana Inggeris dari sudut pengaruh pemasaran dan menjadikan Jerman sebagai destinasi yang patut dituju untuk membangunkan diri mereka.

Photo Credit: DFL
Photo Credit: DFL

Namun, persamaan itu seharusnya mempunyai kelemahannya juga. Anda boleh melihat bagaiman Shinji Kagawa gagal menyamai pencapaiannya bersama Manchester United, ketika beraksi di Liga Perdana Inggeris. Sebaik sahaja dia kembali ke Bundesliga, prestasinya kembali ke kemuncak. Begitu juga dengan Shinji Okazaki yang merupakan penyerang prolific bersama Mainz, menjaringkan 12 gol dan 15 gol dalam dua musim bersama kelab itu. Namun, dia hanya mampu menjaringkan lima gol untuk juara Liga Perdana Inggeris, Leicester City musim lalu dan berubah menjadi penyerang kedua, yang jarang beraksi 90 minit.

“Lihat liga lain di Eropah. Liga Perdana Inggeris sangat fizikal dan ianya sukan untuk pemain Asia menyesuaikan diri di sana. Di Jerman, kami tidak terlalu fizikal, dan ia membolehkan pemain Asia menunjukkan kebolehan teknikal mereka. Kerana itu pemain seperti Kagawa bermain baik di Bundesliga,” tambah Matthaus ketika ditemubual.

Kerisauan yang sama boleh dilihat di Asia Tenggara, di mana Liga Perdana Inggeris telah meletakkan jenama mereka. Perbezaannya adalah, Malaysia dan negara lain dalam rantau Asia Tenggara tidak mempunyai pemain contoh yang beraksi baik di Bundesliga. Namun, itu mungkin berubah di masa hadapan.

Photo Credit: FourFourTwo
Photo Credit: FourFourTwo

Gergasi Jerman, Borussia Dortmund telah membuka pejabat di Singapura, yang membantu mereka memasuki pasaran Asia Tenggara dalam tempoh dua tahun lalu. Sejak pejabat itu dibuka, Dortmund telah mengikat perkongsian bersama Johor Darul Ta’azim di Malaysia dan Suphanburi City di Thailand. Mereka melawat Johor dan mengadakan perlawanan persahabatan pra musim pada Julai 2015 dan kini meletakkan tiga jurulatih sepenuh masa di Johor Bahru, untuk membantu Harimau Selatan membangunkan pelan pembangunan pemain muda mereka. Johor DT turut merancang untuk menghantar pemain muda mereka untuk berlatih di Jerman.

Bahkan pelan Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) di Malaysia turut dipengaruhi revolusi bolasepak Jerman yang mengambil tempat selepas Kejohanan Eropah pada tahun 2000 di Perancis, seperti didedahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin. Bahkan, Raphael Honigstein di dalam bukunya ‘Das Reboot’ juga menceritakan mengenai seorang bekas pemain kebangsaan Malaysia, iaitu Lim Teong Kim, yang dahulu merupakan jurulatih pasukan remaja Bayern Munich. Dia kini mengepalai program NFDP.

Bekas bintang Dortmund, Lars Ricken, yang kini mengetuai jabatan pembangunan remaja Der BVB, juga percaya Bundesliga merupakan liga yang sempurna untuk pemain Asia (dan Asia Tenggara) , selepas menilai pemain seperti Shinji Kagawa, dan juga Gary Steven Robbat dari Malaysia yang berlatih selama tiga bulan bersama skuad bawah 23 tahun pasukan itu, tahun lalu.

Photo Credit: Borussia Dortmund
Photo Credit: Borussia Dortmund

“Pemain Asia bertubuh kecil dan tidak sebesar pemain Eropah. Namun, ia tidak menjadi masalah kerana corak permaina di Jerman lebih mudah. Kami kompak, serta tidak memberikan ruang yang banyak, dan pemain Asia mudah menyesuaikan diri. Anda melihat mereka di padang latihan setiap hari dan mereka selalu tidak bercakap banyak, tetapi fokus. Anda tidak perlu bertubuh besar untuk berjaya di Bundesliga,” kata Rickens yang terkenal dengan jaringan kemenangannya untuk Dortmund di final Liga Juara-Juara 1997 menentang Juventus.

Populariti Liga Perdana Inggeris di Asia Tenggara bermakna kanak-kanak akan membesar dengan cita-cita bermain untuk kelab Liga Perdana – satu aspirasi yang sukar untuk menjadi realiti, disebabkan oleh kesukaran mendapatkan permit kerja British, namun apa yang penting adalah aspek fizikal bolasepak Inggeris. Namun, kini kita mempunyai Die Mannschaft yang mula menerobos masuk ke sempadan antarabangsa, serta pasukan dari jerman meluaskan pengaruh Bundesliga di seluruh rantau ini, mungkin sudah tiba masanya anak muda dari Malaysia dan negara lain di rantau Asia Tenggara menukar cita-cita mereka.

“Akhirnya, ia bergantung kepada negara tersebut dan corak permainan bagaimana yang mereka mahukan. Budaya berbeza mempunyai corak permainan berbeza. Belanda bermain dengan cara berbeza, kami juga sama, bahkan England juga berbeza corak permainan mereka. Jika mereka memilih untuk mengikut corak permainan bolasepak Jerman, baguslah. Namun, mengikut penilaian saya, corak permainan Bundesliga lebih kuran sama dengan pemain bolasepak Asia,” kata Matthaus sebagai kesimpulan.

Photo Credit: PlanetBola.my
Photo Credit: PlanetBola.my

Kanak-kanak di Malaysia dan Asia Tenggara memerlukan Yasuhiko Okudera dan Cha Bum-kun mereka sendiri untuk menunjukkan jalan dan membuka pintu ke Bundesliga. Dan melihat perkembangan Bundesliga di Asia Tenggara, mungkin tidak lama lagi ia akan berlaku.