Others

Latif sasar pecahkan rekod dunia di Rio

Atlit lompat jauh Paralimpik negara, Abdul Latif Romly kini berada di prestasi terbaiknya menjelang Sukan Paralimpik di Rio bulan depan.

Atlit berusia 19 tahun itu kini mensasarkan untuk memecahkan rekod dunia acara lompat jauh dalam kategori T20 dan merangkul pingat emas pertama Sukan Paralimpik buat Malaysia.

Rekod dunia yang dicatat oleh atlit Sepanyol, Jose Exposito iaitu 7.37m pada tahun 2003 masih belum dicabar sesiapa, namun anak jati Perlis ini mahu mencipta rekod baru di Paralimpik Rio yang akan berlangsung pada 7-18 September ini.

Abdul Latif yang berada di kedudukan No.2 dunia dalam kategorinya dan merupakan salah seorang dari dua pemenang pingat emas di Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha,Qatar tahun lalu.

Dia memecahkan rekod kejohanan di Doha dengan mencatatkan lompatan 7.35m.

Mohd Ridzuan Mohd Puzi turut menyumbangkan satu lagi pingat emas di Doha dalam acara 100m lelaki kategori T36.

Abdul Latif, yang juga merupakan pembawa bendera kontinjen Malaysia di Rio, berkata dia mempunyai harapan yang tinggi selepas memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh di Sukma, Kuching bulan lalu.

“Saya mencatatkan lompatan 7.46 di Sukma, oleh itu saya tau ia sesuatu yang boleh saya capai.

“Saya hanya perlu memastikan teknik saya betul. Satu lompatan yang bagus sudah cukup, tetapi saya harap dapat memecahkan rekod dunia. Saya berharap saya dapat mencapai sasaran saya untuk memenangi pingat emas di Rio.

“Saya berlatih di Jerman sebagai persiapan untuk ke Sukan Paralimpik,” kata Abdul Latif yang akan membuat penampilan pertamanya dalam Sukan Paralimpik di Rio.

Abdul Latif turut menyambut baik pengumuman dari Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bahawa atlit-Para akan menerima insentif yang sama dengan atlit biasa.

Jika Abdul Latif merangkul emas, dia akan bergelar jutawan segera kerana kerajaan telah berjanji untuk memberi ganjaran sebanyak RM1 juta untuk pingat emas. Pingat perak pula akan diberi ganjaran bernilan RM300,000, dan pingat gangsa akan menerima RM100,000.

Pemenang pingat di Rio juga akan menerima pencen seumur hidup bernilai RM5,000 (emas), RM3,000 (perak) dan RM2,000 (gangsa).

Skim insentif untuk Paralimpik sebelum ini adalah RM 300,000 untuk emas, RM200,000 untuk perak dan RM100,000 untuk gangsa.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana mengiktiraf usaha kami. Tetapi ianya bukan untuk wang…saya mahu menang untuk diri sendiri,” kata Abdul Latif.

Diketuai oleh chef de mission Dr Ang Kean Koo, 21 atlit Malaysia (19 lelaki dan dua wanita) berangkat ke Rio pada hari Isnin, di mana mereka akan bertanding dalam lapan dari 23 acara yang dipertandingkan dalam program Paralimpik.

Malaysia menghantar wakil dalam acara memanah, olahraga, berbasikal, angkat berat, kapal layar, renang, ping-pong dan tennis kerusi roda.

Malaysia masih belum merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik. Di London empat tahun lalu, atlit memanah negara Hasihin Sanawi merangkul pingat perak dalam acara recurve individu dalam kategori W1 sementara Ziyad Zolkefli merangkul pingat gangsa dalam acara lontar peluru.

Other posts by