Football

Mourinho mengeluh menjelang derby Manchester?

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata kalendar perlawanan antarabangsa merencatkan perancangannya untuk derby Manchester, terutamanya dengan pemain dari Amerika Selatan yang pulang sehari sebelum pertembungan itu.

Selepas pemergian sebilangan besar pemain United yang bermain untuk pasukan kebangsaan dan penyerang Zlatan Ibrahimovic diberikan rehat panjang, Mourinho kehilangan hampir semua pemain pasukan utamanya sejak perlawanan menentang Hull City Sabtu lalu.

Bekas pengurus Chelsea dan Real Madrid itu akan hanya dapat melatih pemain pertahanan kanan utamanya Antonio Valencia dan pemain lain seperti penjaga gol Sergio Romero dan pertahanan Marcos Rojo, kembali ke pusat latihan pasukan, 24 jam sebelum perlawanan berkenaan pada 10 September ini.

“Kami hanya mempunyai lapan pemain dan juga Sam Johnstone sebagai penjaga gol. Kami akan kehilangan pemain lain dan kami tidak tahu bagaimana mereka berlatih, bagaimana mereka memulihkan diri, kehidupan mereka bersama pasukan kebangsaan,” kata Mourinho kepada MUTV.

Ada yang akan pulang pada hari Isnin sebelum perlawanan menentang Manchester City tetapi ada juga yang akan kembali pada hari Jumaat. Sehari sebelum perlawanan menentang City, baru Sergio Romero, Marcos Rojo dan Valencia tiba.

“Ianya akan menjadi satu proses sukar tetapi kami tahu ianya akan jadi seperti ini apabila memiliki pemain-pemain ini. Dan saya gembira mereka pergi kerana ia bermaksud mereka dipilih untuk bersama pasukan kebangsaan.”

Pertembungan Mourinho dan Pep menarik perhatian kerana hubungan tegang mereka semasa mengendalikan Real Madrid dan Barcelona.

Mereka akan memperbaharui perseteruan mereka selepas kalendar antarabangsa di Old Trafford dan kedua-dua pasukan pastinya mahu mempertahan rekod 100 peratus mereka selepas tiga perlawanan Liga Perdana.

Other posts by