Hafizh terlepas peluang menaiki podium di Silverstone

0
Photo credits: Facebook Official Fan Club Hafizh Syahrin

Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah menyamai pencapaian terbaiknya musim ini apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat Grand Prix British di Silverstone.

Hafizh menikmati permulaan yang baik selepas memulakan perlumbaan di tempat kelima dan mengekalkan jarak dengan kelompok pendahulu sebelum menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam perlumbaan 18 pusingan itu. Pelumba Petronas Raceline itu, turut menamatkan perlumbaan di tempat keempat sebelum ini di Grand Prix Catalunya pada bulan Jun, dengan catatan masa 38:50:832.

Pelumba Switzerland Thomas Luthi bergelar juara selepas mencatat masa 38:49:473 sementara pelumba Itali Franco Morbidelli mencatat 38:50.329 untuk berada di tempat kedua. Pelumba Jepun Takaaki Nakagami berada di tempat ketiga dengan catatan masa 38:50.652.

Selepas 12 perlumbaan, Hafizh kini berada di kedudukan ke lapan dalam kejohanan 18 peringkat ini dengan 92 mata.

Dalam perlumbaan Moto3 yang bermula sebelum itu, Khairul Idham Pawi dari Honda Team Asia berada di kedudukan ke 23 sementara Adam Norrodin dari SIC Racing Team menamatkan perlumbaan di tangga ke 24.