Others

Sambutan meriah menanti kepulangan kontinjen Paralimpik negara

Kerajaan bercadang untuk mengadakan sambutan besar-besaran kepada kontinjen Paralimpik yang akan pulang daripada Rio de Janeiro pada 22 September nanti.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata bahawa Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyambut kepulangan kontinjen Paralimpik sendiri.

Tumpuan utama pastinya kepada tiga pemenang pingat emas dari acara olahgara – Mohd Ridzuan Mohd Puzi (100m lelaki T36), Ziyad Zolkefli (Lontar peluru lelaki F20) dan Abdul Latif Romly (Lompat jauh lelaki T20).

“Kami sedang merangka sesuatu yang istimewa sebagai tanda penghargaan kepada wira-wira negara. Atlit Para ini tidak pernah gagal untuk mengharumkan nama negara setiap kali mereka ke temasya luar negara dan saya gembira mereka melebihi jangkaan kita di temasya sukan paling besar.

“Perdana Menteri begitu gembira kerana kejayaan mereka di Paralimpik telah membuka mata masyarakat dan dia akan berada di sana nanti pada waktu tengahari 22 September ini. Mereka tidak mahu dikenali dengan kekurangan mereka tetapi apa yang mereka boleh kecapi,” ujar Khairy.

Khairy turut mengumumkan bahawa pemenang pingat di Sukan Paralimpik sebelum ini akan mula menerima elaun bulanan bermula Oktober ini.

Elaun bulanan untuk pemenang pingat Olimpik dan Paralimpik adalah RM5000 untuk emas, RM3000 untuk perak dan RM2000 untuk gangsa.

“Wang tersebut akan dimasukkan ke akaun bank mereka bermula bulan depan,” kata Khairy selepas melancarkan majlis penyerahan kereta Proton kepada pemenang pingat Olimpik Rio bulan lalu.

Sebelum Paralimpik Rio, Malaysia hanya memenangi dua pingat perak dan lima gangsa sejak Paralimpik 1988 di Seoul, Korea Selatan.

Other posts by