Jun Hoong bersedia kembali berlatih selepas kejayaan di Rio

0
Photo credit: The Star

Atlit terjun kebangsaan Cheon Jun Hoong bersedia untuk kembali berlatih.

Jun Hoong menjadi terkenal sejak memenangi pingat perak bersama Pandelela Rinong dalam acara 10m platform wanita di Sukan Olimpik Rio bulan lalu – atlit berusia 26 tahun itu tidak sabar untuk kembali berlatih sepenuh masa di China minggu depan.

Walaupun atlit terjun telah melaporkan diri untuk latihan pada 5 September, mereka belum memulakan latihan lagi.

Sama seperti pasangan pemenang pingat Olimpiknya, Jun Hoong telah menghabiskan masa sejak beberapa minggu lalu menghadiri pelbagai majlis dan memberikan temuramah yang diajurkan oleh kerajaan dan syarikat-syarikat.

“Tempoh bulan madu akan tamat apabila saya tiba di China minggu depan,” kata Jun Hoong selepas menerima insentif wang berjumlah RM4000 dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada hari Rabu.

“Sudah tiba masanya saya kembali berlatih. Saya tidak dapat kembali ke rutin asal saya sejak beberapa minggu lalu kerana perlu menghadiri banyak majlis…saya sudah terlupa berapa banyak majlis yang saya hadiri.”

“Terdapat banyak sesi temuramah yang perlu saya jalani.”

Walaupun dia kini pemenang pingat Olimpik, Jun Hoong tahu dia masih ada banyak yang perlu dicapai.

“Saya mungkin seorang pemenang pingat Olimpik, tetapi itu sudah berlalu,” jelasnya.

“Kejohanan Dunia (di Budapest) tahun hadapan dan Sukan Komanwel (di Gold Coast) dan Sukan Asia (di Jakarta) pada tahun 2018 adalah sasaran saya.

“Saya masih belum memenangi pingat di kejohanan dunia dan Sukan Komanwel.

“Oleh itu saya tidak akan berehat. Saya akan terus berlatih dengan gigih…seperti saya masih belum memenangi apa-apa,” tambah Jun Hoong, yang meneruskan pengajian Ijazah Komunikasi di UPM.

Penembak Johnathan Wong Guanjie dan pelari pecut Zaidatul Husniah Zulkifli, yang turut beraksi di Rio, menerima RM1000 dari UPM di bawah Skim Insentif Sukan mereka.