Wee Wern mara ke undian utama Terbuka Skuasy Al-Ahram

0
Photo Credit: squashmad.com

Pemain wanita No.2 negara, Low Wee Wern mara ke undian utama Kejohanan Skuasy Terbuka Al-Ahram selepas menang di perlawanan kelayakan akhir kejohanan tersebut di Mesir, semalam.

Wee Wern, terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pemain muda, Nadine Shahin, dan akhirnya menang dengan keputusan 11-5, 10-12, 11-3, 5-11 dan 11-7 dalam perlawanan yang berlangsung selama 57 minit.

Bercakap mengenai kemenangan itu, Wee Wern menyatakan dia gembira kerana menang perlawanan itu walaupun tidak beraksi di tahap terbaiknya.

“Saya bermain baik tapi tidak konsisten, dia sangat garang dan hebat. Saya rasa saya telah melakukan dengan baik untuk bertahan dan muncul pemenang,” katanya yang dipetik menerusi laman web kejohanan www.alarhamsquashopen.com.

Sebelum itu, Wee Wern menewaskan seorang lagi pemain Mesir, Hania El Hammamy; 11-4, 11-9 dan 11-9 dalam perlawanan kelayakan pertama pada hari Sabtu.

Wee Wern akan berdepan tugas sukar apabila bakal berdepan pemain No.8 dunia, Omneya Abdel Kawy dari Mesir di perlawanan pembukaan, hari ini.

Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David yang menyasarkan kejuaraan keduanya musim ini selepas memenangi Kejohanan Jemputan Wanita SRAM pada bulan Julai, akan berdepan wakil England, Fiona Moverley dalam perlawanan pembukaannya, lewat hari ini.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara lelaki yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyan US$100,000 (RM415,000).