Football

Guardiola tuntut permohonan maaf sebelum Toure boleh bermain lagi

Yaya Toure tidak akan bermain untuk Manchester City lagi selagi dia tidak memohon maaf kepada kelab tersebut di atas komen yang dibuat oleh ejennya, menurut pengurus pasukan Pep Guardiola, semalam.

Ejen pemain tengah Ivory Coast itu, Dimitri Seluk berkata Toure merasa ‘terhina’ selepas Guardiola meninggalkannya dari skuad Liga Juara-Juara.

“Dia perlu meminta maaf. Jika tidak, dia tidak akan bermain,” kata Guardiola kepada wartawan.

“Sukar untuk meninggalkannya dari skuad Liga Juara-Juara tetapi sehari selepas itu, ejennya terus berjumpa media. (Toure) tidak berani menelefon saya. Sejak itu, dia telah terkeluar.”

Toure, pemenang Pemain Terbaik Afrika sebanyak empat kali, telah menjadi tonggak utama City sejak menyertai kelab berkenaan dari Barcelona yang turut dikendalikan Guardiola pada tahun 2010.

Dia telah bermain hanya sekali musim ini, dalam perlawanan timbal balik kelayakan Liga Juara-Juara menentang Steaua Bucharest ketika City sudah mendahului 5-0 dari perlawan pertama.

Guardiola dan Toure turut mengalami situasi tegang di Barcelona, dengan pemain berkenaan mengatakan dia seakan dipaksa keluar dalam satu temubual bersama stesen radio Sepanyol pada tahun 2011.

“Dia tidak melayan saya sehinggalah City membuat tawaran. Sebab itu saya membuat keputusan untuk pergi. Saya tidak bercakap dengan Guardiola selama setahun,” kata Toure ketika itu.

“Saya tidak mahu pergi dan mahu menamatkan kerjaya saya di Barcelona. Namun, dia tidak percayakan saya.”

Guardiola menolak dakwaan pemain berkenaan dan mengatakan dia telah berusaha memujuknya untuk kekal.

Toure mempunyai baki kontrak selama setahun lagi bersama City tetapi telah dijangka akan berpindah selepas Guardiola menyertai kelab berkenaan dari Bayern Munich sebelum musim bermula, telah mengumumkan persaraannya dari bola sepak antarabangsa.

“Menulis kenyataan ini mungki perkara paling sukar dalam hidup saya,” katanya dalam satu kenyataan di dalam laman webnya.

Dia berkata keputusan berkenaan tidak ada kena mengena dengan umurnya, mahupun sesi latihan dan jumlah perlawanan yang banyak.

“Bolasepak adalah segalanya buat saya. Ianya memberikan saya banyak perkara dalam kerjaya saya hinggakan saya rasa tidak mampu lagi untuk membuat sasaran baru, sebagai pemain pasukan Ivory Coast.

Toure menjaringkan 19 gol dari 100 penampilan bersama Ivory Coast dan mengetuai pasukan menjulang Piala Negara-Negara Afrika pertama mereka dalam tempoh 23 tahun pada tahun 2015.

City akan menentang Swansea City dalam pusingan ketiga Piala Liga esok.

Other posts by