Wira Olimpik dan Paralimpik negara dijangka hadiri perlumbaan F1 Sepang

0

Peminat sukan bermotor negara akan menerima khabar gembira apabila wira Olimpik negara akan hadir untuk menyaksikan perlumbaan F1 Petronas Grand Prix yang akan berlangsung di Sepang bulan hadapan.

CEO Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali berkata, beliau telah menghantar jemputan kepada semua wira Olimpik dan Paralimpik supaya mereka boleh bertemu peminat sukan bermotor dan menikmati perlumbaan.

“Setakat ini, penunggang basikal Fatehah Mustapa dan Azizulhasni Awang, serta atlit terjun Nur Dabitah Sabri dan Leong Mun Yee telah mengesahkan kehadiran mereka.”

“Namun, pemain badminton kita tidak dapat hadir kerna mereka terlibat dengan Terbuka Jepun dan akan hanya pulang pada 3 Oktober” katanya semalam.

Ditanya jika atlit Paralimpik negara akan turut menghadiri perlumbaan tersebut, Razlan berkata mereka hanya akan mendapat pengesahan selepas mereka kembali ke Malaysia.

“Kami telah menjemput mereka dan kami berbesar hati jika mereka hadir ke perlumbaan,” kata beliau.

Menjawab mengenai jualan tiket, Razlan berkata ia kelihatan akan menyamai kehadiran tahun lalu.

“Dari segi jualan antarabangsa, kami melihat kenaikan 2% setiap tahun, di mana ianya bagus untuk pelancongan antarabangsa.

”Tetapi kami masih menunggu peminat tempatan untuk membeli tiket dan berharap akan ada pembelian di saat akhir dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya yang menambah bahawa 80,000 tiket terjual bagia acara yang berlangsung selama tiga hari itu pada tahun lalu.

Razlan menyedari bahawa Grand Prix Singapura mengalami penurunan sebanyak 15% dari segi jualan tiket berbanding tahun lalu.

“Keadaan ekonomi yang tidak menentu di dalam dan luar negara, ianya mungkin memberi kesan kepada jualan tiket F1, tetapi MotoGp tahun ini tidak terjejas banyak,” kata beliau.

Oktober akan menjadi bulan untuk sukan lumba bermotor, dengan perlumbaan F1 akan berlangsung pada 30 September hingga 2 Oktober dan MotoGP pada 28-30 Oktober.