Khairul Hafiz sasar pecahkan rekod Dr. Jega

0
Photo Credit: The Malay Mail

Pecahkan rekod Dr. Jega.

Itu sasaran raja pecut negara yang baru Khairul Hafiz Jantan apabila dia sah tidak akan beraksi bagi acara 100 meter di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Universiti Malaysia bermula hari ini.

Perkara ini disahkan oleh Presiden Persatuan Olahraga Melaka, S Kanabathy yang berkata pemegang rekod 100m itu hanya akan menyertai acara 200m dan 4x100m sementara rakan sepasukannya Badrul Hisyam akan beraksi dalam acara 100m, 200m serta 4x100m.

“Khairul Hafiz tidak mahu menyertai 100m untuk memberi tumpuan memecahkan rekod kebangsaan 200m milik Tan Sri Dr. M Jegathesan iaitu 20.92 saat yang dicipta di Sukan Olimpik 1968 di Mexico,” kata beliau pada sidang media kejohanan semalam.

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ini menyaksikan kemerosotan dari segi penyertaan apabila hanya 380 atlit mengambil bahagian dalam temasya sukan tersebut tahun ini.

Filipina dan Thailand hanya menghantar 11 dan 10 atlit sahaja tahun ini. Selain dua negara tersebut, negara luar yang mengesahkan penyertaan adalah Kuwait, India, Singapura dan Brunei selain 17 kontinjen tempatan termasuk Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Pelapis Majlis Sukan Negara (MSN).