Featured, Football

Bagaimana sukan ragbi memainkan peranan dalam kebangkitan Atletico Madrid

Dalam sukan bola sepak, sesetengah pasukan mempunyai senjata rahsia mereka. Ada senjata rahsia yang terdiri daripada pemain, dan ada juga senjata rahsia dari segi taktikal.

Namun bagi Atletico Madrid atau lebih dikenali sebagai ‘Rojiblancos’, senjata rahsia mereka adalah jurilatih merea Oscar ‘El Profe’ Ortega.

Melihat pada kebangkitan Atletico di bawah Diego Simeone, ramai yang tidak akan menyangka bahawa Ortega sebenarnya adalah antara tunjang utama kebangkitan itu.

Antara yang paling diingati adalah seruannya kepada pemai-pemain Atletico yang membawa mereka ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Milan : “ Ayuh! Kita akan menyamakan kedudukan dan kemudian kita akan layak! Ayuh! Ayuh! Ayuh! Semua bola 50/50, kita perlu menang.”

Photo credit: Marca.com
Photo credit: Marca.com

Jadi apa resepi sebenar Óscar Ezequiel Ortega del Río ini sehingga mampu membantu anak buah Diego ‘El Cholo’ Simeone membuat penganalisis bolasepak Sepanyol menggaru kepala kehairanan?

Semuanya kerana RAGBI. Ya, ragbi.

Jurulatih berusia 58 tahun dari Montivideo, Uruguay itu menyatakan segala kerja dan perancangannya bukan berasal dari sukan bolasepak, tetapi ragbi.

Ortega sebelum ini merupakan seorang jurulatih ragbi dan dia mencampurkan pengalamannya sebagai seorang jurulatih ragbi di sebuah kolej British di Montivideo ke dalam kerjayanya sebagai seorang jurulatih bolasepak sekarang.

Antara perkara yang diambil dari sukan ragbi oleh Ortega, seperti dilaporkan oleh El Pais pada tahun 2013 selepas menemuramahnya, adalah menekankan kepentingan memberi tekanan kepada pihak lawan dan menukarkan perlawanan kepada perlawanan mini, seperti pertarungan individu di segenap padang. Ini memberikan kelebihan kepada pemainnya untuk menguasai kelemahan pihak lawan dan menggunakan itu sebagai kelebihan kepada mereka.

Photo credit: Rugbyworldcup.com
Photo credit: Rugbyworldcup.com

Tugas Ortega tidak terhenti setakat di sesi latihan di atas padang, tetapi dia turut akan menganalisa padang pihak lawan. Termasuk ketika menentang Bayern baru-baru ini di Liga Juara-Juara apabila Ortega mengeluh kepada media mengenai keluasan padang Bayern dengan bertanya “Adakah mereka terlupa memotong rumput? Atau penjaga padang (groundsman) mereka makan gaji buta?.”

Komen yang sama turut diluahkan olehnya ketika mereka berdepan Malmo di Stadium Swedbank, “ Ini padang paling teruk pernah saya saksikan. Paling teruk.”

Jika ada pemain Malaysia yang suka makan nasi lemak, rendang, ketupat, char kuey teow atau apa-apa makanan Malaysia, pastinya mereka akan berdepan masalah apabila berlatih di bawah Ortega. Jurulatih ini akan menimbang berat pemainnya setiap hari demi memastikan pemainnya berada dalam keadaan fizikal terbaik dan fokus pada diet seperti yang disahkan oleh Koke dan Griezmann dalah satu rancangan popular di Sepanyol ‘El Hormiguero’.

Ortega juga seorang yang mempunyai kepercayaan sendiri terutamanya sebelum perlawanan. Jurulatih ini akan berlari setiap pagi sebelum perlawanan tidak kira di mana mereka berada, sama ada di Munich atau Malmo ketika beraksi di Liga Juara-Juara atau di Barcelona sebelum beraksi dalam saingan La Liga.

photo credit: Deporte.elpais.com
photo credit: Deporte.elpais.com

Berkerja sejak berumur 21 tahun, Ortega telah berkelana ke Argentina, Jepun, Colombia, Chile dan Mexico sebelum tiba di Sepanyol pada tahun 2003 bersama Sevilla, di mana Simeone masih bergelar seorang pemain. Dia kemudian berganding dengan Simeone ketika El Cholo membuat penampilan pertama sebagai jurulatih bersama Racing Club de Avellaneda pada tahun 2006, dan mereka kekal bersama di River Plate, San Lorenzo dan Catania sebelum memulakan revolusi bersama Atleti.

Hubungan kedua pengurus dan jurulatih ini sangat utuh sehingga Simeone sendiri menggambarkan hubungan mereka perkara terbaik berlaku kepadanya sebagai pengurus. Jika Simeone adalah hati dan jiwa Atletico, Ortega adalah kaki dan paru-paru yang akan berkerja keras memastikan tubuh badan bergerak mengikut rentak hati dan jiwa itu.

Bukti bahawa corak latihan Ortega menjadi perhatian boleh dilihat dalam perlawanan akhir Copa Del Rey 2012, di mana Atletico berjaya menundukkan musuh ketat mereka Real Madrid di Bernabeu. Ketika rehat separuh masa dan Ortega membawa pemain simpanan Atletico berlatih, pemain Real Madrid, Alvaro Arbeloa yang sedang berlatih berseorangan dilihat meniru corak latihan Ortega.

Satu lagi bukti kepentingan corak latihan berdisiplin Ortega adalah apabila pengurusan yang mengawal kewangan memberikan sepenuh keyakinan kepada corak latihannya. Mereka sanggup melepaskan wang yang banyak dan tidak mengadakan sebarang perlawanan pertunjukan atau jelajah ke negara lain dalam tempoh dua minggu pertama pra-musim bagi membolehkan Ortega mengembalikan kecergasan pemain. Dengan adanya jurulatih berjiwa besar seperti Ortega, tidak mustahil Atletico mampu membolot semua kejuaraan musim ini. Semua ini hasil kerja seorang jurulatih yang mempunyai minda ragbi yang digelar ‘El Profe’.

Other posts by