Football

Jaga tingkah laku anda ketika mewakili negara – Khairy

Atlet dan pegawai perlu menjaga tingkah laku ketika mewakili Malaysia di luar negara, katai Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan balas kepada kes terbaru yang melibatkan Pengarah Projek Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) Lim Teong Kim yang membuat keputusan untuk menyuruh pemain skuad bawah 14 tahunnya tidak bermain dalam satu perlawanan persahabatan menentang kelab Korea Selatan Pohang Steeleng di separuh masa.

Teong Kim dilaporkan tidak gembira selepas Pohang Steelers didapati menurunkan beberapa pemain melebihi umur. Dia menarik pasukannya selepas mereka ketinggalan 4-0 di separuh masa pertama.

Pohang Steelers baru-baru ini telah menghantar aduan kepada FAM berkenaan tindakan Teong Kim.

Khairy berkata jika ada atlet atau pegawai yang didapati melanggar disiplin “tindakan sewajarnya akan diambil”.

“Saya telah mengarahkan sekretariat NFDP untuk menyediakan laporan berkenaan insiden itu dan menyerahkannya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Saya akan serahkan kepada FAM untuk membuat keputusan.

”Biar apa pun, saya harap semua pegawai dan atlet yang mewakili negara di luar negara akan menjaga tingkahlaku dan berdisiplin.

”Jika ada sebarang kes melibatkan atlet atau pegawai, kami perlu mengambil tindakan.

”Dalam perkara ini, saya serahkan kepada FAM untuk membuat keputusan,” kata Khairy dalam satu sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum di antara NFDP dan Kedah FA (KFA).

Kedah menjadi negeri pertama yang menjalinkan kerjasama dengan NFDP, di mana kedua-dua pihak akan bertanggungjawab untuk pembangunan pemain muda di negeri berkenaan.

Dalam kerjasama itu, NFDP akan menjadi unit utama pembangunan bolasepak di Kedah, sementara KFA akan bertanggungjawab menyedia dan menyelenggara padang latihan.

Sebuah akademi remaja elit untuk pemain berusia di antara 13-17 tahun telah dilancarkan dengan nama “Akademi Datuk Ahmad Basri” – mengambil nama Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil, yang menguruskan pasukan Kedah di hujung 1980-an.

Khairy berkata mereka sedang berbincang bersama Johor Darul Ta’zim, Selangor dan ATM untuk menjalin kerjasama.

Turut hadir ke majlis berkenaan adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang juga presiden KFA, dan setiausaha agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Other posts by