Hockey

MHC dapat tajaan RM 900,000 untuk Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) telah menerima tajaan berjumlah RM900,000 untuk Kejuaraan Hoki Trofi Juara-Juara Asia yang akan berlangsung di Kuantan,Pahang pada 20-30 Oktober ini.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata penaja utama QNET memberi tajaan bernilai RM500,000, Tenaga Nasional Berhad (TNB) RM300,000 sementara Genting Malaysia dan Waz Lian Group of Companies, memberi tajaan bernilai RM50,000 setiap satu.

“Sasaran saya untuk Malaysia adalah untuk muncul empat pasukan terbaik, bermakna tempat di separuh akhir. Saya berharap dapat menamatkan kedudukan di tiga tempat teratas walaupun ianya agak sukar,” katanya kepada wartawan selepas mengumumkan penaja-penaja di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.

Subahan yakin bahawa pasukan Malaysia mampu melonjak naik ke kedudukan ke-8 daripada kedudukan ke-14 terbaik dunia berdasarkan persembahan mereka di Liga Hoki Australia baru-baru ini.

Anak buah ketua jurulatih Stephen Van Huize mendapat tempat ke-enam daripada 12 pasukan.

MHC telah meletakkan dua sasaran utama kepada skuad kebangsaan, untuk layak ke Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, India dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Jepun.

“Trofi Juara-Juara Asia ini penting kepada pasukan negara kerana ia menawarkan mata ranking dari FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa),” kata Subahan.

Trofi Juara-Juara Asia edisi ke-4 ini akan menampilkan enam pasukan terbaik Asia; Pakistan, India, China, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia selaku tuan rumah buat pertama kali.

Subahan berkata, jenama sukan terkenal Itali, Kappa akan menaja skuad lelaki dan wanita kebangsaan selama dua tahun. Tajaan itu berjumlah RM700,000.

“MHC dalam fasa penjenamaan semula selama empat tahun. Kami mahu melihat kanak-kanak dan remaja memakai jersi pasukan hoki Malaysia, seperti pasukan bolasepak.

“Kami mahu rakyat Malaysia menonton hoki. Seramai 350,000 peminat hoki menyaksikan Perlawana Akhir Liga Hoki Malaysia secara langsung di television,” tambahnya.

Other posts by