Badminton

Kisah hidup Lee Chong Wei akan ke layar perak

Kisah hidup dan kejayaan wira badminton negara Datuk Lee Chong Wei akan diterjemahkan ke dalam sebuah filem tidak lama lagi.

Filem tersebut yang diberi tajuk Rise Of The Legend, sebuah filem biopic akan diarahkan oleh Teng Bee, yang turut mengarah filem Kepong Gangster pada tahun 2012.

Filem yang akan menelan belanja sebanyak RM4.5 juta ini akan diterbitkan oleh C8 Pictures dengan kerjasama Mahu Pictures.

Kisah mengenai kehidupan Chong Wei dan keluarganya akan menjadi latar filem ini yang dijangka memulakan penggambaran tahun depan dan ditayangkan pada tahun 2018.

Teng berkata dia dan rakan-rakannya telah mengambil masa tiga tahun untuk memujuk Lee Chong Wei untuk membenarkan mereka menerbitkan file mini.

“Tiga tahun lalu, kami mempunyai konsep untuk membuat biopik mengenai Chong Wei. Dan ia mengambil masa tiga tahun untuk mendapat kebenarannya,” kata pengarah itu dalam satu sidang media pengumuman filem berkenaan di Kuala Lumpur semalam.

Chong Wei tidak dapat hadir ke sidang media tersebut kerana berada di Denmark untuk menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Denmark.

Masih tiada pengesahan jika Chong Wei akan membuat penampilan dalam filem berkenaan kerana jadualnya yang sibuk. Teng menambah mereka akan mengadakan sesi ujibakat di seluruh negara untuk mencari pelakon yang sesuai untuk membawa watak Chong Wei.

Jadi, jika anda mempunyai rakan-rakan yang anda rasa sesuai, mungkin anda boleh memujuknya pergi ke ujibakat itu nanti!

Other posts by