V Shem-Wee Kiong rangkul kejuaraan Superseries pertama di Denmark

0
Photo credit: The Star

Selepas sekian lama mencuba, akhirnya pasangan bergu No.1 negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong berjaya merangkul gelaran Superseries pertama.

Gandingan negara itu menewaskan bergu Thailand Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet 14-21, 22-20, 21-19 dalam acara bergu lelaki di Terbuka Denmark yang berlangsung di Odense Sports Park pada hari Ahad.

Selepas tewas mudah di set pertama, bergu Malaysia itu hampir-hampir terlepas kejuaraan selepas ketinggalan 16-19 di set kedua namun bangkit semula untuk menang 22-20.

Dalam set penentuan, mereka bermain dengan lebih tangkas namun kesilapan demi kesilapan hampir menghukum mereka. Nasib di tangan mereka apabila pasangan Thailand turut melakukan kesilapan sekaligus membantu V Shem-Wee Kiong menang 21-19.

Wee Kiong merasa gembira kerana dapat mengatasi rasa gugupnya. “Ya, akhirnya kami memenangi kejuaraan Superseries pertama kami tetapi kami membuatkannya sedikit sukar. Saya bergelut untuk mencari rentak di set pertama,” aku Wee Kiong.

“Kami telah bermain dalam banyak perlawanan dengan bergu Thai ini sebelum ini tetapi mereka mengejutkan kami dengan permainan agresif.

”Kami sukar untuk menyesuaikan diri dengan permainan mereka. Selain itu, kami turut membuat terlalu banyak kesilapan. Kami bernasib baik kerana akhirnya berjaya menang.”

V Shem berkata mereka akan mengekalkan momentum mereka di Terbuka Perancis yang akan berlangsung pada hari Rabu.

Sebelum kejayaan di Denmark, bergu No.7 dunia itu hanya membuat penampilan di tiga separuh akhir iaitu All England, Terbuka India dan Terbuka Korea selain satu penampilan di suku akhir ketika beraksi di Terbuka Indonesia.

Mereka tersingkir awal di Terbuka Malaysia, Singapura, Australia dan Jepun tahun ini.