Dodgeball

Pasukan Dodgeball wanita Malaysia kini No.1 dunia!

Pasukan dodgeball wanita Malaysia kini pasukan di kedudukan tertinggi dunia selepas memenangi pingat emas pertama di Kejohanan Dodgeball Dunia.

Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) memberi pengesahan kepada Malay Mail Online bahawa ini kali pertama pasukan wanita dari Malaysia menduduki tangga pertama di kedudukan dunia.

“Untuk 2016, pasukan wanita Malaysia kini berada di ranking #1 di dunia selepas menewaskan Kanada 6-5 untuk pingat emas dalam Kejohanan Dodgeball Dunia ke-5 anjuran Persekutuan Dodgeball Dunia (WDBF) di Melbourne, Australia,”kata mereka dalam satu kenyataan mengenai kemenangan mereka pada hari Sabtu lalu.

Pasukan lelaki Malaysia kekal di tangga kedua dunia selepas memenangi pingat perak selepas menewaskan lawan yang sama di kejohanan tersebut juga pada hari Sabtu.

Malaysia, yang telah menganjurkan Kejohanan Dodgeball Dunia pertama pada tahun 2012, telah menyertai lima edisi kejohahan tahunan itu.

Seorang wakil MAD memberitahu Malay Mail Online bahawa persembaha mereka tahun ini adalah yang terbaik untuk pasukan Malaysia, mengatasi kejohanan tahun lalu di mana skuad lelaki menang pingat perak dan skuad wanita sekadar merangkul pingat gangsa.

Skuad dodgeball lelaki turut merangkul pingat gangsa dalam kejohanan itu pada tahun 2013 dan 2014, sementara pasukan wanita merangkul pingat gangsa pada tahun 2012 dan 2014.

Menurut MAD, kedudukan setiap pasukan dalam ranking dunia oleh WDBF ditentukan menerusi keputusan di Kejohanan Dodgeball Dunia.

Pesuruhjaya Dodgeball Hong Kong Brian Li turut mengutus ucapan tahniah kepada Malaysia kerana bergelar juara dalam sukan yang sering didominasi oleh pasukan dari negara barat.

Dalam kenyataannya, dia berkata: “Kemenangan ini bukan sekadar untuk Malaysia, tetapi untuk seluruh Asia.”

MAD dijangka akan menyambut kepulangan “wira dodgeball negara” di KLIA2 awal pagi esok sejurus mereka tiba dari Australia.

Other posts by