Badminton

Cabaran Malaysia tamat di Terbuka Perancis

Cabaran Malaysia berakhir di Kejohanan Badminton Superseries Terbuka Perancis apabila dua wakil negara yang tinggal tumbang di pusingan kedua.

Pemain bebas Zulfadli Zulkiffli, tewas kepada pilihan keenam Son Wan-ho dari Korea Selatan 15-21, 14-21 dalam acara perseorangan lelaki yang berlangsung di Stadium Pierre de Coubertin pada hari Khamis.

“Saya ingat saya berjaya menewaskannya apabila mendahului 8-3 di set kedua tetapi dia menukar tempo perlawanan. Kami terikat 14-14 tetapi dia lebih tenang dari saya di hujung perlawanan,” kata Zulfadli.

“Secara keseluruhan, saya agak gembira dengan kualiti permainan saya di Terbuka Perancis tahun ini. Saya akan terus berkerja keras untuk memperbaiki permainan dan fizikal saya,” katanya.

Zulfadli kini mempunyai masa latihan dua minggu sebelum kembali beraksi di Terbuka China pada 15-20 November dan Terbuka Hong Kong pada 22-27 November.

Satu lagi wakil negara, bergu campuran Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal menewaskan pasangan Indonesia Praveen Jordan-Debby Susanto seperti yang dilakukan mereka di Malaysian Masters pada bulan Januari lalu.

Bergu negara itu tewas 20-22, 21-14, 16-21 kepada pasangan No.2 dunia itu.

Pei Jing menyesal kerana mereka tidak mengambil peluang menamatkan permainan di set pertama. Mereka mendahului 20-18 sebelum membenarkan pasangan Indonesia itu mengejar dan memenangi set pertama.

“Itu sangat merugikan. Kami ada peluang baik tetapi tidak mengambilnya. Dalam set penentuan mereka bermain lebih baik dan kami banyak membuat kesilapan. Kali ini, mereka lebih bersedia,” kata Pei Jing.

Kian Meng pula berkata: “Persembahan kami lebih baik berbanding aksi buruk kami di Terbuka Denmark. Sekarang, kami akan ke Jerman untuk menyertai Terbuka Bitburger minggu depan dan berharap keputusan lebih baik.”

Other posts by