Football

Baddrol sasar Piala AFF Suzuki selepas julang Piala Malaysia

Segar dari membantu Kedah menjulang Piala Malaysia dengan menewaskan Selangor malam tadi, ketua pasukan Kedah Baddrol Bakhtiar kini mensasarkan untuk membantu skuad kebangsaan menjulang Piala AFF Suzuki.

“Itu memang sasaran saya tahun ini. Selepas menang Piala Malaysia, saya sasarkan Piala AFF kerana saya belum pernah merasa menang piala itu,” kata pemain berusia 28 tahun itu dalam sidang media selepas perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-90.

Bercakap mengenai kemenangan pasukannya dalam perlawanan tersebut, Badd berkata: “ Bagi saya dan pemain, kami semua bermain sebagai satu pasukan dan mengikut arahan jurulatih.

“Semasa penentuan sepakan penalti, saya teringat ketika Sukan SEA 2011 di Gelora Bung Karno (menentang Indonesia). Tapi saya tekankan kepada semua pemain untuk berfikir positif.”

Kedah berjaya menjulang Piala Malaysia 2016 selepas menewaskan Selangor 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit perlawanan.

Pemain pertahanan kanan Kedah, Mohd Rizal Mohd Ghazali menjaringkan gol untuk pasukan Kedah menerusi tendangan jarak jauh sebelum Hazwan Bakri menjaringkan gol penyamaan buat Selangor.

Other posts by