Badminton

China musnahkan harapan Malaysia bergelar juara badminton remaja dunia

Harapan Malaysia untuk bergelar juara remaja dunia selepas mara ke perlawanan akhir pertama dalam lima tahun musnah apabila China menundukkan skuad negara 3-0 dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Sepanyol.

Skuad China menundukkan wakil Malaysia Chen Tang Jie-M.Thinaah, Leong Jun Hao dan Goh Jin Wei di Bilbao pada hari Ahad lalu.

He Jiting-Du Yue memungut mata pertama untuk China walaupun hampir dikejutkan oleh Tang Jie-Thinaah di set pertama namun bangkit untuk menang 21-17, 13-21, 12-21.

Wakil perseorangan lelaki negara Leon Jun Hao tewas mudah kepada Sun Feixiang dalam perlawanan kedua. Jun Hao tewas 15-21, 13-21.

Harapan terletak kepada permata baru badminton negara Goh Jin Wei apabila dia bertemu Chen Yufei. Jin Wei yang menumpaskan Yufei dalam pertemuan mereka di kejohanan remaja dunia yang lalu, tidak dapat mengulanginya lagi apabila tewas 20-22, 21-14, 8-21.

Ketua jurulatih negara Kwan Yoke Meng memberikan pujian kepada anak buahnya kerana berjaya melebihi sasaran yang ditetapkan.

Yoke Meng, bekas pemain kebangsaan berkata: “Kami tidak menang kejuaraan tetapi kami melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu empat pasukan terbaik. China pilihan utama untuk menang. Sekarang kami akan fokus acara perseorangan.”

Other posts by