Badminton

Jurulatih perseorangan wanita negara tinggalkan BAM untuk ke Scotland

Jurulatih perseorangan wanita negara Wong Tat Meng sah meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menggalas jawatan ketua jurulatih badminton Scotland.

Tat Meng akan mengendalikan skuad Scotland bagi menghadapi kejohanan dunia yang akan berlangsung di Glasgow pada bulan Ogos tahun depan.

Ini merupakan kali kedua jurulatih berusia 49 tahun ini berkelana ke luar negara apabila sebelum ini menggalas jawatan sebagai jurulatih pasukan badminton wanita Indonesia pada tahun 2011.

Tat Meng mengikut jejak langkah rakan sejawatnya Tan Kim Her yang meninggalkan BAM untuk ke India bagi mengambil tugas sebagai jurulatih bergu mereka.

“Saya telah menjadi jurulatih selama lebih 10 tahun, jadi sudah sampai masa saya mencuba benda baru,” kata Tat Meng yang turut menyatakan tawaran dari Scotland itu ‘sukar untuk ditolak’.

Selain itu, Tat Meng turut berkata: “ Ianya akan menjadi lebih mencabar kerana tugas saya lebih besar…Saya akan mengendalikan pemain-pemain dan para jurulatih serta banyak tanggungjawab lain lagi.

“Tugasan ini akan membantu saya berkembang sebagai seorang jurulatih. Saya tidak sabar untuk bermula. Apa yang lebih menarik adalah saya dapat membawa keluarga saya bersama.”

Other posts by