5 pemain terbaik Selangor yang berpindah ke Johor Darul Ta’azim

0
Photo credit: FB Johor Southern Tigers

Berita perpindahan pemain bukanlah satu perkara aneh dalam dunia bolasepak. Bahkan di negara seperti Itali, perpindahan pemain dari kelab yang bersaing sesama sendiri bukan perkara pelik. Namun, bagi sesetengah kelab, berpindah ke musuh ketat adalah perkara yang sangat taboo. Perpindahan pemain dari Real Madrid ke Barcelona atau Manchester United ke Liverpool pastinya sukar diterima peminat.

Sejak tertubuhnya pasukan Johor Darul Ta’azim (JDT) dilihat menjadi satu trend untuk pemain dari Selangor berpindah ke pasukan dari Selatan itu. Bahkan, hampir setiap musim pasti ada pemain dari Selangor yang akan berpindah ke JDT. Melihat kepada kejayaan dan kemudahan yang dimiliki oleh juara Liga Super itu, pastinya sukar untuk mana-mana pemain menolak tawaran dari JDT.

Pemain Selangor terbaru yang diumumkan berpindah ke JDT dari Selangor adalah penyerang kebangsaan, Hazwan Bakri yang mencuri tumpuan dengan aksi lincah dan penyudah hebatnya bersama skuad Red Giants dan Harimau Malaysia.

Berikut merupakan senarai LIMA pemain terbaik dari Selangor yang berpindah ke JDT:

Nazmi Faiz Mansor

Photo credit: The Star
Photo credit: The Star

Pemain tengah berbakat ini baru sahaja menyertai JDT sejurus tamat Liga Malaysia 2016. Anak muda dari Lembah Keramat ini mencuri tumpuan seluruh negara apabila menyertai kelab Liga Portugal S.C Beira Mar pada tahun 2012. Tidak lama kemudian dia kembali ke Malaysia untuk menyertai PKNS FC dan setahun selepas itu menyarung jersi merah kuning Selangor. Selepas 54 penampilan yang membawa kejayaan menjulang Piala Malaysia, Nazmi Faiz mengambil keputusan untuk menyertai JDT bagi musim 2017.

Hazwan Bakri

Photo Credit: Astro Awani
Photo Credit: Astro Awani

Pemain terbaru dari Selangor yang berpindah ke Johor. Anak muda berusia 25 tahun ini mula mencuri tumpuan ketika bersama skuad anak kota, Kuala Lumpur pada tahun 2009-2012. Menyerlah bersama skuad Kuala Lumpur, Hazwan dipanggil menyertai Harimau Muda A dan selepas itu menyertai musuh ketat Kuala Lumpur iaitu Selangor pada tahun 2014. Sama seperti Nazmi, satu-satunya kejayaannya bersama Selangor adalah menjulang Piala Malaysia pada tahun 2015 dan turut menjaringkan dua gol dalam perlawanan akhir menentang Kedah. Namun, Selangor sekali lagi gagal mengikat pemain berbakat mereka apabila JDT mengumumkan kehadiran penyerang berbakat negara ini ke pasukan mereka.

Mohd Azrif Nasrulhaq

Photo Credit: FoxSports
Photo Credit: FoxSports

Perpindahan Azrif menjadi isu hangat sepanjang musim lalu apabila Azrif meminta Selangor melepaskannya untuk menyertai JDT pada awal musim 2016. Azrif ketika itu dikatakan sanggup menebus kontraknya yang bernilai RM960,000 demi menunaikan impiannya berpindah ke Selatan. Namun, pihak pengurusan Selangor ketika itu menolak permintaan bekas pemain PKNS FC dan Harimau Muda A ini. Impian Azrif akhirnya tertunai apabila Selangor melepaskannya di pertengahan musim 2016 apabila kedua-dua pasukan mencapai kata sepakat.

Safiq Rahim

Bekas pemain kebangsaan dan mungkin juga pemain terbaik dari Selangor yang berpindah ke selatan tanah air. Safiq memainkan peranan penting dalam kempen Piala AFC 2015 di mana membawa JDT menjadi kelab Malaysia pertama menjulang piala berkenaan. Bekas pemain Selangor dan PLUS FC ini juga merupakan tonggak penting Malaysia ketika menjulang Piala AFF Suzuki pada tahun 2010. Pemain tengah berbakat ini terkenal dengan sepakan percumanya yang tepat di mana dia pernah menewaskan penjaga gol Liverpool, Brad Jones dalam satu perlawanan persahabatan.

Mohd Amri Yahyah

A013116905
Photo credit: Borneo Post Online

Anak kelahiran Tanjong Karang ini merupakan antara pemain paling setia bersama Selangor sebelum berhijrah ke JDT. Berkhidmat lebih dari satu dekad (2001-2013) bersama pasukan Red Giants, dia pernah menjulang trofi Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA bersama Selangor. Dia merupakan pemain dari skuad Selangor yang memenangi treble pada tahun 2005 (Liga Perdana, Piala Malaysia, Piala FA).

Amri merupakan satu-satunya pemain dalam dunia yang berjaya menewaskan dua penjaga gol Manchester United dalam satu perlawanan. Ketua pasukan kebangsaan ini dikhabarkan akan menyertai satu lagi pasukan dari Selatan iaitu Melaka United walaupun pada awalnya dikatakan akan kembali bersama Selangor.