Football

Amri tinggalkan JDT, sertai revolusi Melaka United

Ketua pasukan kebangsaan dan pemain Johor Darul Takzim, Amri Yahyah akan menyertai pasukan baru Liga Super, Melaka United bagi musim hadapan.

Menurut laporan Berita Harian Online, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan dakwaan tersebut.

Datuk Wira menyatakan perkara berkenaan kepada BH Online: “Ya, dia akan menyertai Melaka United. Dan keputusan muktamad akan diselesaikan Isnin (semalam) ini.

“Memang kami tiada perancangan awal untuk membawanya masuk, namun terdapat penaja yang ingin menawarkan dana mendapatkannya. Sebab itu kami segera mengusahakannya.”

Amri Yahyah sebelum ini dikhabarkan bakal kembali bersama pasukan Selangor selepas tiga musim bersama Johor Darul Ta’azim di mana dia memenangi trofi Liga Super, Piala FA dan Piala AFC.

Selain Amri, Melaka United turut mendapatkan Tam Sheang Tsung (Shanghai Shenhua), Akmal Zahir (Sime Darby), Syed Sobri (Sime Darby), Akmal Ishak (JDT II), Khairu Azrin (PKNS), Faizal Muhamad (PDRM), Fauzi Roslan (Pahang), dan Izzaq Faris (T-Team) bagi menghadapai saingan Liga Super musim hadapan.

Melaka United turut diperkuat dengan dua pemain import baru iaitu Godwin Antwi dari DRB Hicom dan Omid Nazari dari Global FC.

Melaka United akan dikendalikan oleh jurulatih baru Eric Williams yang menggantikan Mat Zan Mat Aris bagi saingan Liga Super Malaysia 2017.

Other posts by