Badminton

Chong Wei terima anugerah Pemain Terbaik Tahunan BWF

Bintang badminton negara Lee Chong Wei menerima tonik terbaru apabila menerima Anugerah Pemain Lelaki Terbaik Tahunan oleh BWF dalam satu majlis makan malam yang berlangsung di Armani Hotel, Burj Khalifa.

Chong Wei menewaskan Jan O Jorgensen (Denmark), Zhang Nan/Fu Haifeng (China), Chen Long (China) dan bergu Malaysia Goh V Shem/Tan Wee Kiong yang turut tersenarai untuk memenangi anugerah tersebut.

Anugerah tersebut merupakan kali kelima yang dimenangi Chong Wei, sekaligus menjadikannya pemain yang paling kerap memenanginya selepas turut menang pada tahun 2009,2010,2011 dan 2013.

Chong Wei pastinya akan menjadikan kemenangan ini sebagai pemangkin semangat buat beliau dalam Kejohanan Superseries Akhir yang akan berlangsung di Dubai pada hari Rabu.

Bintang badminton negara itu berada dalam Kumpulan B bersama pemain Korea Selatan Son Wan-ho, Angus Ng Ka Long dari Hong Kong dan Viktor Axelsen dari Denmark. Chong Wei akan menentang pemain No.6 dunia Wan-ho pada hari Rabu ini.

Other posts by