Football

Roberto Carlos kagum dengan jaringan Faiz Subri

Jaringan menakjubkan Faiz Subri berjaya mengejutkan dunia dan menjadikan pemain tengah Pulau Pinang itu sebagai pemenang Anugerah Puskas pertama dari Asia.

Sepakan percuma Faiz Subri membuatkan seluruh peminat bolasepak dunia kagum. Namun, bukan itu sahaja kerana seorang lagi pemain yang pernah mengejutkan dunia dengan sepakan percuma menakjubkan turut menyatakan kekagumannya terhadap jaringan Faiz Subri itu.

Bekas pemain kebangsaan Brazil yang terkenal dengan rembatan kuatnya, Roberto Carlos ketika ditemuramah oleh RTM sebelum Majlis Anugerah Bolasepak Terbaik FIFA menyatakan bahawa jaringan itu sangat cantik.

“Ianya jaringan yang sangat cantik. Mungkin jaringan itu akan menang. Saya ada melihat gol tersebut, ianya memang menakjubkan. Saya memilih pemain ini (Faiz Subri) sekarang.”

Seorang lagi pemain lagenda, Marcel Desailly yang pernah beraksi bersama Perancis dan Chelsea turut menyatakan kekagumannya terhadap jaringan Faiz Subri.

“Saya telah melihat jaringan itu di mana bola bergerak ke sana sini dan akhirnya menerjah jaring. Saya tidak tahu jika dia memang merancang untuk melakukannya tapi ianya bagus untuk melihat bahawa pemain berbakat bukan sahaja berada di Eropah dan ianya bagus melihat seluruh dunia menunjukkan minat apabila seorang pemain melakukan perkara menakjubkan dalam bolasepak,” katanya ketika ditemuramah wartawan RTM.

Faiz Subri akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsan Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.30 petang hari ini dan peminat semua dijemput hadir untuk menyambut wira Malaysia yang telah mencipta sejarah ini.

Other posts by