Featured, Football

Eksklusif: Wanderley Junior tekad bawa Kuala Lumpur ke Liga Super 2018

Kuala Lumpur di bulan Januari cuacanya tidak menentu. Sama seperti prestasi Kuala Lumpur pada musim lepas yang bermula baik namun sedikit hambar di separuh kedua menyebabkan pasukan ibu negara Malaysia ini hanya menduduki tempat kelima di Liga Premier.

Kuasa besar bolasepak sekitar hujung 80-an dengan hatrik Piala Malaysia (1987-1989), Kuala Lumpur sebelum ini pernah dilatih oleh bekas jurulatih Aston Villa Josef Venglos dan pencari bakat Manchester United, Ricardo Formosinho.

Selepas berjaya membawa skuad anak kota ini mendaki tempat kelima musim lalu, Ismail Zakaria meninggalkan pasukan dan Kuala Lumpur FA membawa masuk bekas penolong jurulatih Royal Navy FC di Liga Thailand, Wanderley Junior bagi menggantikan tempatnya.

Saya berkesempatan bertemu dan berbual dengan jurulatih baru di Liga Malaysia ini yang berkongsi pengalamannya bermain dan menjadi jurulatih Indonesia dan Thailand.

FO: Bagaimana coach boleh terfikir untuk menjadi jurulatih di Asia Tenggara?

WJ: Saya sudah berkerja di Asia Tenggara selama 12 tahun, bermula di Indonesia sebagai pemain selama empat musim dan kemudian menjadi jurulatih bersama Persela (B22) . Ketika saya masih bermain saya memang berharap mahu menjadi seorang jurulatih dan saya lihat peluang saya ada di Asia Tenggara.

FO: Coach pernah melatih pasukan di Indonesia dan Thailand, jadi apakah perbezaan corak permainan di dua negara ini?

WJ: Thailand sekarang sudah mempunyai visi untuk pemain muda mereka. Mereka mempunyai kelebihan apabila pemain muda mereka mempunyai mental pemain profesional. Pemain di kelompok umur 16-19 tahun sudah mempunyai kehidupan profesional dan sebahagian dari mereka kini bermain bersama pasukan senior. Thailand mempunyai visi dan pembangunan bolasepak bagus untuk semua peringkat umur.

Pemain Indonesia pula mempunyai skil yang bagus, tapi mereka tidak mempunyai mental profesional. Selain itu Indonesia tidak memikirkan pemain muda, tetapi terus peringkat senior.

Malaysia pula, enam tahun yang lalu ada pasukan muda yang begitu hebat, tetapi ke mana perginya semua pemain itu? Malaysia mempunyai pemain muda yang bagus, namun di peringkat senior tidak berapa mantap.

Photo credit: Facebook Kuala Lumpur FA
Photo credit: Facebook Kuala Lumpur FA

FO: Kenapa coach memilih Kuala Lumpur?

WJ: Saya memang mempunyai keinginan untuk menjadi jurulatih di Malaysia dari musim lepas lagi. Namun, tiada tawaran jadi saya memilih untuk ke Thailand (bersama Royal Navy FC). Selepas tamat musim, kebetulan KLFA sedang mencari jurulatih import, lalu saya menawarkan diri dan selepas KLFA melihat CV saya mereka merasakan saya calon yang sesuai. Saya tidak memikirkan mengenai wang, tetapi ini untuk membuka pintu sebagai tugasan pertama saya di Malaysia.

FO: Siapa pemain Kuala Lumpur yang coach rasa akan menyinar musim ini?

WJ: Saya lihat di KL selepas beberapa perlawanan persahabatan, kita mempunyai ramai pemain muda sekitar 20-23 tahun yang berkualiti. Mereka mempunyai kemajuan dari segi taktikal.

Photo credit: Facebook Kuala Lumpur FA
Photo credit: Facebook Kuala Lumpur FA

FO: Apa sasaran coach untuk KL musim ini?

WJ: Saya berharap hasil yang positif. Kita mahu capai sasaran yang tinggi. Pastinya kami mengimpikan Liga Super, tetapi kami akan akan melakukannya ‘step by step’. Kita hanya akan memikirkan satu-demi satu perlawanan.

FO: Dua pemain Kuala Lumpur Arif Anwar dan Irfan Zakaria dipanggil untuk menyertai skuad B22 tahun Malaysia. Adakah ini perkara bagus untuk KL?

WJ: Semua pemain bolasepak pastinya mahu menyarung jersi pasukan kebangsaan. Saya gembira apabila dua pemain tersebut dipanggil kerana mereka mampu menaikkan nama KL dan meningkatkan prestasi mereka. Saya harap mereka mampu melakukan yang terbaik bersama skuad B22 tahun Malaysia dan seterusnya bermain bersama pasukan senior.

Photo credit: Facebook Kuala Lumpur FA
Photo credit: Facebook Kuala Lumpur FA

FO: Apa harapan coach menjelang perlawanan pertama Liga Premier menentang JDT II?

WJ: Semua perlawanan pertama tidak mudah. Bukan sahaja untuk KL dan JDT, tetapi semua pasukan. Semua pasukan tidak tahu kekuatan masing-masing. Saya harap pemain akan mengekalkan disiplin permainan dan mendapat hasil positif iaitu 3 mata pertama dalam perlawanan menentang JDT II.

FO: Ucapan coach untuk penyokong Kuala Lumpur?

WJ: Saya harap semua penyokong KL akan kembali ke stadium untuk menyokong pasukan. Saya harap mereka akan hadir dan melihat permainan cantik tetapi juga efektif dari kami.

Walaupun pertemuan ini tidak lama, namun melihat pada semangat jurulatih dari Brazil ini, Kuala Lumpur dilihat mampu bersaing untuk merebut tempat ke Liga Super musim hadapan. Jika KL mampu mengharungi musim tanpa sebarang masalah dan gangguan, tidak mustahil KL akan kembali ke Liga Super.

Kepada penduduk Kuala Lumpur, marilah kita bersama-sama turun ke Stadium Selayang Jumaat ini. Sudah sampai masanya untuk kita memberikan sokongan padu kepada Kuala Lumpur. Ini bandar kita, ini pasukan kita. Let’s go City Boys!

Other posts by