Football

Selangor ‘buang’ Andik Vermansyah

Drama terbaru timbul di Selangor.

Terbaru, pemain sayap Indonesia, Andik Vermansyah terkejut apabila namanya tidak disenaraikan dalam senarai akhir skuad Liga Super oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Selangor megumumkan bahawa kuota pemain import mereka telah diisi oleh dua pemain baru iaitu penyerang Romania Victor Astafei dan pemain Timor Leste Juliano Mineiro Fernandes yang akan mengisi slot pemain import Asia yang sebelum ini milik Andik.

Andik bercakap kepada akhbar Kosmo! menyatakan kekecewaannya terhadap pengurusan FAS: “Jika benar mereka (Selangor) sudah melengkapkan kuota import mereka musim ini, saya sangat kecewa kerana saya tidak mendapat sebarang maklum balas daripada FAS. Saya telah mencurahkan bakti sepanjang hampir tiga tahun di sini kerana Selangor umpama negeri kelahiran saya sendiri.

“Saya sudah berbuat baik sepanjang berkhidmat di sana dan menolak beberapa tawaran daripada kelab bola sepak di Malaysia dan Indonesia kerana saya mahu berbakti di bumi Selangor. Justeru, mereka tidak profesional. Jika khabar tersebut benar, ia sesuatu yang sangat mengecewakan. Begitupun, ketika ini masih belum ada hitam putih.”

Andik yang membantu skuad Red Giants memenangi Piala Malaysia 2015 menjadi ketua pasukan Selangor di bawah kendalian P.Maniam musim lalu. Pemain kebangsaan Indonesia itu masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan ekoran kecederaan lutut yang dialaminya ketika bermain untuk Indonesia dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki menentang Thailand.

Selain Victor Astafei dan Juliano Mineiro, dua lagi pemain import Selangor musim ini adalah pemain pertahanan Ugo Ukah dan bekas penyerang Felda United, Francis Forkey Doe.

Selangor akan berdepan Melaka United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada hari Jumaat ini selepas menang aksi pembukaan Liga Super menentang Pulau Pinang pada hari Sabtu lalu.

Other posts by