Football

‘Molotov Cocktail’ dilontar di pejabat Persatuan Bolasepak Pulau Pinang

Nampaknya amarah penyokong Pulau Pinang sudah naik ke tahap berbahaya.

Pagi tadi dikhabarkan pejabat Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) telah diserang dengan bom buatan sendiri yang dilaporkan sebagai ‘Molotov Cocktail’ menurut laporan dari laman Facebook Arena Harimau Malaysia.

Kejadian tersebut dikatakan berpunca dari kemarahan penyokong Pulau Pinang terhadap pengurusan FAP.

Memetik laporan dari Berita Harian, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid menyatakan bahawa dipercayai kesan terbakar di kaki lima pejabat berkenaan disedari oleh kakitangan FAP pada pukul 7.55 pagi tadi.

“Polis menemui beberapa serpihan botol kaca dan bahan yang dipercayai adalah bom Molotov. Malah, kita percaya ia adalah perbuatan khianat.”

Photo credit: Facebook Arena Harimau Malaysia
Photo credit: Facebook Arena Harimau Malaysia

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu bagi mengenalpasti suspek yang terbabit.

“Tiada saksi yang melihat kejadian itu dan suspek tidak dapat dikenalpasti kerana tempat kejadian tiada kamera litar tertutup (CCTV),” katanya lagi.

Penyokong Pulau Pinang sebelum ini menunjukkan rasa tidak puas hati mereka dengan pemilihan anggota parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari bagi menduduki kerusi presiden FAP.

Pada hari Sabtu lalu, penyokong Pulau Pinang merusuh di Stadium Batu Kawan selepas Pulau Pinang tewas 1-0 kepada Sarawak dalam saingan Liga Super.

Pulau Pinang setakat ini menduduki tangga tercorot Liga Super dengan mencatatkan kekalahan dalam empat perlawanan berturut-turut dan tiada jaringan dilakukan.

Other posts by