Badminton

2017 tahun kebangkitan Ramdan Misbun

Anak kepada Datuk Misbun Sidek akhirnya berjaya membuat kebangkitan untuk mara ke perlawanan akhir acara perseorangan lelaki di Kejohanan Kebangsaan yang baru sahaja tamat.

Namun, kebangkitan yang dimaksudkan untuk pemain berusia 26 tahun ini, bukanlah kebangkitan dari kekalahan, tetapi suat perkara yang lain.

Kebangkitan apa?

Misbun Ramdan Misbun bangkit dari kecederaan lama yang menghantui dirinya sejak 2015.

Pada tahun 2015, Ramdan mengalami kecederaan Achilles tendon dan perlu melalui dua pembedahan bagi memulihkan semula dirinya.

Menurut bapanya, Datuk Misbun Sidek seperti dipetik dari laporan The Star sebelum ini, dia pernah mempunyai keraguan bahawa anaknya itu mampu kembali beraksi seperti biasa.

“Ketika Ramdan mengalami kecederaan Achilles Tendonnya, dia memberitahu saya bahawa dia mahu bermain semula. Saya bagitahu dia bahawa mustahil untuk bangkit dari kecederaan seperti itu.

“Tetapi dia sangat bersungguh-sungguh. Sekarang dia telah menyempurnakan impiannya. Sebagai seorang ayah, saya berbangga kerana dia tidak menyerah kalah.”

Dia menang tak di Kejohanan Kebangsaan?

Malangnya Ramdan tewas di perlawanan akhir kepada juara bertahan, Lim Chi Wing, 19-21, 8-21.

Naumn, perlu diingat bahawa Ramdan merupakan satu-satunya pemain yang bukan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang beraksi dalam lima acara akhir.

Ramdan terpaksa bermain di pusingan kelayakan dalam kejohanan ini. Termasuk perlawanan akhir, Ramdan telah bermain 10 perlawanan termasuk empat perlawanan bagi acara bergu bersama abangnya Shawal.

Apa seterusnya untuk Ramdan?

“Ini merupakan permulaan untuk perkara yang hebat,” kata juara kebangsaan 2012 ini seperti dilaporkan oleh The Star.

“Saya berharap saya dapat meningkat setinggi Lee Chong Wei dan menjadi penggantinya.

“Saya juga mahu mewakili Malaysia dalam peringkat akhir Piala Thomas seperti ayah saya, dan pakcik-pakcik saya (Jalani, Razif, Rashid dan Rahman Sidek).”

Pernah berada di kedudukan ke-43 dunia suatu masa dahulu, mungkin 2017 adalah tahun terbaik untuk Ramdan membuat kebangkitan. Semoga semua pemain badminton negara akan bangkit untuk lebih cemerlang pada tahun ini.

Other posts by