WWE

Penggusti Mexico terbakar akibat stunt berbahaya

Semasa kita kecil ibubapa kita sering mengingatkan kita untuk jangan bermain dengan api. Katanya nanti terbakar rumah atau kita akan tercedera. Mungkin ada juga di antara kita yang degil dan cuba bermain api, kebiasaannya semasa perayaan. Satu percikan api kecil pun sudah cukup membuatkan kita merasa sakit.

Malangnya mungkin penggusti ini terlupa pesanan ibu bapanya ketika kecil.

Seorang penggusti Mexico yang menggunakan nama Sangre Chicana Junior telah merasai padahnya apabila kulitnya melecur tahap tiga apabila berlaku kesilapan ketika membuat stunt menggunakan api dalam satu perlawanan.

Apa yang berlaku?

Chicana yang berpasangan dengan rakannya Hijo de Centurion ketika itu sedang berdepan dengan pasangan Baby rap dan Heavy Rock. Perlawanan berlangsung dengan baik pada mulanya dengan kedua-dua pasangan saling menunjukkan aksi biasa dalam arena gusti.

Dalam perlawanan tersebut, Sangre ketika itu dilontar ke atas timbunan meja yang dibakar. Ideanya adalah untuk Sangre jatuh dan mematahkan meja-meja tersebut.

https://www.youtube.com/watch?v=YAmhgGT6PZg

Namun, apa yang berlaku adalah meja-meja itu jatuh dan menimpa Sangre lalu membakar penggusti berkenaan seperti yang tertera di video di atas.

Adakah dia dapat diselamatkan?

Di depan penonton yang menjerit ketakutan, Sangre seakan-akan dipanggang oleh api yang marak. Bagaimanapun, Petugas keselamatan berjaya menarik meja-meja tersebut dari terus menimpa Sangre dan memadamkan api.

Photo credit: Daily Mirror

Petugas kecemasan dipanggil dan Sangre dibawa ke hospital untuk menerima rawatan melecur tahap 3. Laporan menyatakan bahawa masih belum jelas sama ada polis akan menyiasat insiden berkenaan.

Kesimpulan

Sebelum ini ramai menyatakan gusti adalah lakonan semata-mata. Namun, sedar atau tidak, di sebalik lakonan itu tetap ada risikonya. Ramai penggusti mengalami kecacatan bahkan ada yang terkorban kerana aksi tidak masuk akal mereka.

Pihak pengurusan juga perlu memastikan, walaupun mereka mengejar untuk menaikkan jumlah penonton, jangan dilupakan kebajikan dan keselamatan penggusti mereka sendiri. Langkah-langkah keselamatan dan segala risiko perlu diambil kira sebelum perlawanan berlangsung. Jangan kerana mengejar untung, ada penggusti yang terkorban. Nyawa tidak boleh ditukar ganti.

 

Other posts by