Badminton

Chong Wei sah beraksi di All England

Akhirnya berita baik untuk badminton negara.

Setelah sekian lama peminat badminton Malaysia menanti berita mengenai bintang badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, akhirnya dia disahkan cergas untuk beraksi di Kejohanan All England.

Chong Wei dapat lampu hijau

Pemain berusia 34 tahun itu sebelum ini mengalami kecederaan MCL di lutut kirinya pada bulan lalu selepas terjatuh dan kini berjaya pulih dengan pantas untuk beraksi di All England yang akan berlangsung pada 7-12 Mac ini.

Chong Wei sebelum ini tidak dipastikan dapat beraksi dan perlu menunggu keputusan dari Institut Sukan Negara bagi memastikan sama ada dia boleh menyertai kejohanan tersebut.

Apa kata ISN

Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, seperti dipetik dari The Star berkata: “Chong Wei telah diberikan kebenaran oleh Sandra Fielder dari Institut Sukan Negara.

“Dia juga telah menjalani Imbasan Magnetik Resonan (MRI) semalam dan keputusannya positif. Ini akan menjadi kejohanan pertamanya sejak Kejohanan Akhir Superseries Dunia di Dubai pada Disember lalu tetapi saya pasti dia akan ke sana dan berikan yang terbaik.”

Laluan Chong Wei di All England

Chong Wei setakat ini memiliki laluan mudah apabila dia dijangka bertemu pemain dari pusingan kelayakan di pusingan pertama.

Tugas berat buat Chong Wei hanya akan bermula di suku akhir apabila dia akan bertemu pemain No.7 dunia dari China, Tian Houwei dan jika berjaya ke separuh akhir, akan bertemu pemain No.4 dunia Son Wan-ho dari Korea Selatan.

Chong Wei sebelum ini pernah bergelar juara All England pada tahun 2010,2011 dan 2014.

Kesimpulan

Ini sememangnya berita baik buat peminat badminton negara selepas mendengar begitu banyak kontroversi dan isu yang melibatkan pemain No.1 dunia itu dengan pengarah teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost.

Pastinya rakyat Malaysia mahu melihat Lee Chong Wei merangkul gelaran tersebut kerana ianya mungkin menjadi kali terakhir mereka melihat kelibat Chong Wei beraksi di All England.

Pemain-pemain muda pula perlu banyak belajar dan mencontohi kesungguhan Chong Wei supaya suatu hari nanti kita akan mempunyai lebih ramai pelapis terutamanya untuk acara perseorangan.

Other posts by