Indonesia sedia menyarung jersi jenama tempatan

0
Photo: Widojo

Selepas Thailand mungkin giliran Indonesia menggunakan jersi yang dihasilkan oleh syarikat tempatan.

Thailand pada hari Isnin lalu telah melancarkan jersi terbaru pasukan kebangsaan mereka yang akan menggunakan jenama Warrix, iaitu jenama syarikat tempatan mereka. Sebelum itu mereka turut menyarung jersi keluaran Grand Sport yang juga merupakan hasil syarikat tempatan Thailand.

PSSI masih berbincang dengan Nike

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) setakat ini masih belum mengesahkan mengenai pakaian yang akan digunakan oleh pasukan kebangsaan Indonesia.

Menurut Pengarah Hubungan Antarabangsa dan Media PSSI, Hanif Thamrin, pihaknya masih sedang perbincangan dengan Nike selaku penaja jersi mereka sebelum ini.

Pasukan kebangsaan Indonesia sebelum ini menyarung jersi Nike bagi latihan dan perlawanan sejak tahun 2007.

Hanif turut menyatakan bahawa PSSI akan mengumumkan tempoh dan nilai kontrak bersama penaja baru setelah mereka mencapai keputusan hasil perbincangan.

Dia turut menyatakan bahawa perkara itu akan diumumkan tidak lama lagi kerana pasukan kebangsaan akan menyertai Sukan Solidariti Islam (ISG) di Baku, Azerbaijan pada Mei ini.

Jenama Lokal

PSSI turut menyatakan kesediaan menerima tajaan dari produk tempatan untuk pasukan kebangsaan mereka walaupun bukan dari segi tajaan jersi.

Setakat ini, PSSI telah menjalin kerjasama bersama satu jenama tempatan yang berasal dari Surabaya untuk menaja suit pemain yang akan dipakai mereka dari hotel ke stadium.

Hanif berkata: “Jika syarikat-syarikat sanggup menaja dalam bentuk yang lain, kami alu-alukan.”

Kesimpulan

Isu jersi ini sebenarnya boleh menjadi satu perkara penting. Rata-rata peminat juga mahu melihat pasukan mereka memakai jersi yang cantik dan bergaya. Namun, ianya perlu dengan selari dengan aksi di atas padang. Tidak guna menyarung jersi yang bergaya dan berjenama antarabangsa jika pemain di atas padang beraksi hambar.

Jenama-jenama tempatan wajar diberi peluang untuk membida hak menaja pasukan kebangsaan. Jika Thailand mampu berbuat demikian, tidak salah untuk negara lain terutamanya di dalam ASEAN membuat perkara yang sama. Berikan peluang kepada jenama tempatan, dan mungkin mereka akan mengejutkan anda.