Football

Tiada sekatan FIFA jika tak bermain di Pyongyang

Malaysia tidak akan digantung FIFA kerana campur tangan kerajaan terhadap isu yang melanda di antara Malaysia dan Korea Utara.

Perkara ini dinyatakan oleh setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) , Datuk Hamidin Mohd Amin semalam.

Tiada penggantungan

Memetik kenyataannya dari akhbar The Star: “Tiada isu berkenaan penggantungan FIFA terhadap campur tangan kerajaan kerana ini isu keselamatan dan adalah satu perkara biasa untuk Kementerian Luar Negeri memberi nasihat berkenaan isu ini.

“Kerajaan telah memberitahu kami bahawa terdapat kerisauan berkenaan keselamatan bagi perlawanan tersebut dan kami hanya mengikut arahan kerajaan.”

Skuad Malaysia sepatutnya beraksi menentang Korea Utara di Pyongyang pada 28 Mac ini, namun ketegangan di antara dua negara ini semakin memuncak ekoran kematian seorang warganegara Korea Utara, Kim Jong-nam yang juga merupakan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 bulan lalu.

Perkembangan terbaru menyaksikan kerajaan Korea Utara mengeluarkan arahan menghalang rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara untuk keluar dari negara tersebut.

Kerajaan Malaysia juga telah mengeluarkan arahan menghalang warga Korea Utara yang berada di Malaysia untuk keluar dari Malaysia.

Cari gelanggang neutral

Hamidin dalam kenyataannya juga menyatakan bahawa Malaysia akan memohon untuk bermain di gelanggang neutral.

“Kami telah berhubung dengan AFC dan dengan perubahan situasi ini, kami telah menghantar permohonan kepada AFC untuk bermain di gelanggang neutral selepas diberitahu oleh kerajaan…saya percaya AFC akan berhubung semula dengan kami dan menasihatkan berkenaan perubahan gelanggang untuk perlawanan tersebut.”

Hamidin turut menyatakan jawapan berkenaan permohonan mereka akan diketahui pada awal minggu hadapan.

“Adalah biasa untuk perlawanan diadakan di gelanggang neutral kerana isu keselamatan oleh itu masyarakat tak perlu khuatir. Untuk kami, keselamatan pasukan menjadi keutamaan.”

Kesimpulan

Melihat kepada keadaan semasa, perkara terbaik semestinya adalah untuk beraksi di gelanggang neutral. Selain daripada keselamatan pemain, mungkin dengan beraksi di gelanggang neutral membolehkan penyokong untuk hadir kerana tiada penerbangan terus ke Korea Utara.

Namun, isu ini perlu diselesaikan segera oleh kedua-dua kerajaan. Ketegangan ini merosakkan keindahan sukan bolasepak yang sentiasa menjadi elemen penting bagi mempromosi kesatuan dan keamanan sejagat. Semoga perlawanan bertemu Korea Utara di Malaysia nanti tidak akan diubah ke gelanggang neutral juga.

Other posts by