Football

Gol Stefano Lilipaly dalam senarai jaringan tercantik Liga Belanda

Mungkin tidak sehebat anugerah Puskas, tetapi tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.

Jika Malaysia boleh berbangga dengan jaringan Faiz Subri yang mencipta nama dengan memenangi Anugerah Jaringan Terbaik Puskas di Anugerah Bolasepak FIFA yang lalu, Indonesia pula boleh berbangga apabila jaringan pemain kebangsaan mereka tersenarai dalam gol terbaik di Liga Belanda.

Lilipaly jaring gol cantik

Pemain kebangsaan Indonesia, Stefano Lilipaly yang bermain untuk Cambuur SC di Eerste Divisie, liga kedua Belanda berjaya menjaringkan gol yang menakjubkan dalam perlawanan ke atas Achilles 29.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sportpark De Heikant pada Ahad lalu, Lilipaly menjaringkan gol pada minit ke-81 bagi membantu pasukannya menang 3-0.

Lilipaly yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke minit ke-51 menjaringkan gol menerusi satu rembatan kencang dari luar kotak penalti yang menuju ke penjuru kanan gawang Achilles 29.

Jaringan kedua sebagai pemain gantian

Lilipaly sebelum ini turut menjaringkan gol untuk Cambuur SC apabila masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang MVV pada akhir bulan lalu di mana mereka menang 4-0.

“Itu seperti silap mata. Tidak, saya hanya bergurau,” kata Lilipaly kepada Kompas.com.

“Sebagai pemain gantian, saya memang mempunyai tenaga yang lebih berbanding pemain yang bermain dari awal oleh itu ia membantu untuk menekan pasukan lawan di hadapan.”

Minta tidak main 90 minit

Pemain berusia 27 tahun itu telah berbincang dengan pengendali pasukan Sipke Hulsfoff untuk tidak bermain dari awal disebabkan keletihan kerana telah melalui jadual padat bermain di Piala AFF dari November hingga Disember yang lalu.

“Kami telah membuat keputusan untuk saya tidak bermain selama 90 minit. Dengan cara itu, saya boleh berehat sebagai persiapan bermain di play off ke Eredivisie pada akhir musim ini,” kata Lilipaly lagi.

Cambuur SC kini berada di kedudukan kelima liga dengan baki sepuluh perlawanan dan nampak bakal bermain di pusingan play off untuk ke liga utama Belanda.

Other posts by