Football

VIDEO: Giroud, Monreal, Cech rasai pengalaman jadi pengadil

Kita sering melihat pemain bolasepak mengerumuni pengadil dan memarahi mereka selepas pengadil membuat keputusan.

Menjadi pengadil bukan satu tugas mudah kerana setiap keputusan yang dibuat pasti akan membuat sekurang-kurangnya satu pihak tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

Seorang pengadil bertaraf dunia perlu mempunyai ketenangan untuk membuat keputusan dalam suasana penuh tekanan yang dihadapi dari pemain, pengurus dan penonton.

Pemain Arsenal jadi pengadil

Tiga pemain Arsenal iaitu Olivier Giroud, Nacho Monreal dan Petr Cech merasai pengalaman menjadi pengadil perlawanan dalam satu perlawanan 11 sebelah yang dianjurkan oleh Betfair sebagai salah satu kempen Back The Whistleblower mereka.

Giroud memulakan perlawanan itu sebagai pengadil sambil dibantu oleh Petr Cech dan Monreal yang menjadi pembantunya dan ketiga-tiga pemain menukar peranan mereka sepanjang perlawanan dengan setiap dari mereka mendapat peluang untuk merasa menjadi pengadil dan pembantu pengadil.

Bahkan, Giroud sempat menghadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan salah seorang pemain pertahanan dalam perlawanan tersebut.

Photo credit: Daily Mail

Giroud mengakui kesukaran menjadi seorang pengadil perlawanan ketika bercakap kepada Daily Mail: “Seorang pengadil perlu tenang terutamanya ketika berdepan tekanan. Perlu sentiasa fokus dan fikirkan tugas seterusnya.”

Monreal lebih hormati pengadil

Monreal yang mendapat peluang menjadi pengadil selepas Giroud menyatakan bahawa dia lebih menghormati pengadil selepas merasai pengalaman tersebut sendiri.

Photo credit: Daily Mail

“Ianya sukar kerana saya tidak menyangka tanggungjawab yang dipikul oleh pengadil. Setiap saat mereka perlu membuat keputusan dan pastinya keputusan itu penting dalam perlawanan tersebut.”

Cech menjadi pemain terakhir yang merasai pengalaman menjadi pengadil dalam perlawanan tersebut dan dia sempat memberikan sepakan penalti dan kad merah di penghujung perlawanan tersebut.

Penjaga gol Arsenal itu turut berkongsi pendapat bersama Giroud dan Monreal mengenai kesukaran menjadi seorang pengadil.

Photo credit: Daily Mail

“Ianya sukar menjadi seorang pengadil – terdapat banyak tekanan kepada mereka.”

Aksi dinilai bekas pengadil EPL

Aksi ketiga-tiga pemain tersebut dinilai oleh bekas pengadil serta pembantu pengadil Liga Perdana Inggeris, Mark Halsey dan Glenn Turner dan mereka menyatakan ketiga-tiga pemain menunjukkan aksi yang bagus.

“Saya rasa mereka membuat kerja dengan baik. Ini menunjukkan betapa sukarnya menjadi pengadil perlawanan dan saya rasa mereka membuat kerja yang bagus,” kata Halsey.

“Mereka berkomunikasi dengan pemain dan sentiasa tersenyum, perkara yang saya rasa penting adalah untuk senyum ketika mengadili perlawanan bolasepak.”

Mungkin selepas ini kita boleh membuat perkara sama untuk pemain di liga Malaysia? Pastinya menarik untuk melihat pemain seperti Safiq Rahim, Khairul Fahmi dan Fakri Saarani menjadi pengadil perlawanan.

Other posts by