Football

Kedudukan Malaysia naik dalam ranking terbaru FIFA

Naik tanpa perlu ada perlawanan pun.

Menerusi kedudukan terbaru yang diumumkan oleh FIFA untuk bulan Februari lalu, kedudukan pasukan kebangsaan naik satu anak tangga ke kedudukan 161 berbanding 162 pada bulan lalu.

Naik kedudukan tonik tambahan Malaysia?

Ada pihak yang menyatakan bahawa dengan naik kedudukan ini, ia akan menjadi tonik tambahan buat pasukan kebangsaan menjelang perlawanan berdepan Filipina dan Korea Utara dalam jadual perlawanan FIFA pada hujung Mac nanti.

Kedua-dua pihak lawan yang akan ditemui anak buah Datuk Ong Kim Swee masing-masing berada di kedudukan lebih tinggi berbanding Malaysia. Filipina berada di kedudukan 124 dunia sementara Korea Utara berada di kedudukan ke 121 dunia.

Prestasi buruk Harimau Malaysia di kejohanan Piala AFF Suzuki dan perlawanan antarabangsa pada tahun lalu sedikit sebanyak menyebabkan pasukan kebangsaan berada di kedudukan yang teruk berbanding dua pasukan tersebut.

Malaysia sebaris Kosovo

Berada di kedudukan ke 161, Malaysia berada di belakang pasukan seperti Palestin (134), Afghanistan (156) dan Chinese Taipei (159).

Berada di kedudukan di belakang Malaysia pula adalah pasukan seperti Moldova (162), Singapura (163), Kosovo (164), Kuwait (165) dan Indonesia (167).

Bagi Asia Tenggara, Filipina terus unggul dengan berada di kedudukan ke 124 diikuti Thailand (127), Vietnam (136), Malaysia (161), Singapura (163), Indonesia (167), Myanmar (172), Laos dan Kemboja (173), Brunei (184) dan Timor Leste (194).

Iran kekal no.1 Asia

Pasukan Iran terus gah bergelar pasukan no.1 Asia apabila berada di kedudukan ke-33 dunia diikuti Korea Selatan (40), Jepun (51) dan Australia (55).

Sementara itu dari segi kedudukan keseluruhan, Argentina masih berada di puncak sebagai pasukan no.1 dunia diikuti Brazil, Jerman dan Chile.

Bekas juara Piala Dunia 2010, Sepanyol kini berada di kedudukan ke-10 dunia sementara juara 1966, England berada di kedudukan ke-14 dunia diikuti juara Piala Dunia 2006, Itali, berada di kedudukan ke-15 dunia.

Kesimpulan

Dengan hanya naik satu anak tangga tanpa sebarang perlawanan bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan. Malaysia perlu melakukan segala yang mungkin untuk naik lebih tinggi di kedudukan FIFA.

Janganlah kita berbangga dengan naik anak tangga kalau kita sekadar naik dari 162 ke 161 sahaja. Kita perlu melihat ke depan dan cuba meletakkan diri dalam kelompok 100 terbaik dunia.

Photo credit: FIFA.com

Mungkin ada yang menyatakan ranking tidak penting, tetapi mereka tidak sedar bahawa ranking itu sebenarnya menunjukkan keupayaan pasukan kebangsaan dan akan memainkan peranan dalam proses undian pertandingan antarabangsa.

Siapa sahaja yang menjadi presiden FAM yang baru perlu merangka pelan dan melihat untuk meletakkan Malaysia di kedudukan lebih tinggi dalam kalendar FIFA. Jika dulu kita pernah berada di kedudukan 79 dunia (1993), tidak mustahil untuk kita mengulanginya kembali dengan perancangan rapi dan usaha gigih.

Other posts by