Football

King Kazu pecah rekod penjaring tertua dunia

Dua rekod dipecahkan dalam masa tidak sampai seminggu.

Itu yang berlaku apabila pemain bolasepak profesional tertua dunia, Kazuyoshi Miura menjaringkan gol sekaligus menjadi penjaring tertua di liga profesional dari seluruh dunia.

Cipta sejarah

Pemain penyerangan Yokohama FC itu menjadi sebutan apabila memecahkan rekod menerusi jaringannya yang membantu pasukan menewaskan Thespakusatsu Gunma 1-0 dalam aksi J2 League pada hari Ahad lalu.

Gol tunggal jaringan Miura pada minit ke-40 menewaskan penjaga gol Gunma, Keiki Shimizu.Ketika penyerang itu menjaringkan gol, dia berusia 50 tahun 14 hari.

Memetik kenyataan Miura di The Independent, dia berkata: “Saya gembira dapat membantu pasukan saya menang.

“Saya selalu mencari jalan untuk menjaringkan gol, tetapi saya dapat rasakan sesuatu yang baik untuk perlawanan hari ini,” kata Miura.

Pecah rekod

Sebelum ini, pemain yang digelar King Kazu itu telah memecahkan rekod yang dicipta oleh Sir Stanley Matthews apabila menjadi pemain profesional tertua di dunia.

Sir Stanley Matthews memegang rekod tersebut ketika bermain untuk Stoke City menentang Fulham pada usia 50 tahun dan lima hari pada tahun 1965.

Namun, rekod tersebut berjaya dipecahkan pada 5 Mac 2017 ketika Miura bermain untuk Yokohama FC pada usia 50 tahun 7 hari dan dilihat akan memanjangkan rekod tersebut kerana akan terus bermain untuk Yokohama FC.

Kazuyoshi Miura telah beraksi selama 32 musim dalam liga profesional. Dia pernah beraksi untuk banyak kelab termasuk kelab luar negara seperti Santos di Brazil dan Genoa di Liga Itali pada awal kerjayanya.

King Kazu juga mempunyai 89 caps untuk pasukan kebangsaan Jepun dan menjaringkan 55 gol. Namun, dia tidak pernah membuat penampilan untuk pasukan Samurai Biru di kejohanan Piala Dunia.

Kesimpulan

Melihat kepada ketahanan dan jangka hayat kerjaya pemain bolasepak, adalah menakjubkan untuk melihat seorang pemain berusia 50 tahun masih mampu beraksi dan menjaringkan gol.

Kebiasannya, di usia 50 tahun, ramai pemain bolasepak sudah bersara dan menjadi pengurus atau pengulas perlawanan. Semoga suatu hari nanti King Kazu akan berkongsi tips untuk kekal cergas di usia 50 tahun.

Other posts by