Football

Terkini: Michael Essien sah sertai Persib Bandung

Kami baru saja menyiarkan mengenai khabar bahawa Michael Essien akan menyertai kelab Indonesia, Persib Bandung.

Namun, hari ini kelab berkenaan telah mengesahkan bahawa pemain berkenaan telah menyertai Persib.

Umum menerusi laman sosial

Dalam satu pengumuman di laman Twitter mereka, Persib menunjukkan gambar jersi yang tertera dengan nama Essien.

Pemain tengah yang pernah beraksi untuk pasukan Chelsea, Real Madrid dan AC Milan itu sah akan menyarung jersi nombor lima untuk pasukan yang berpengkalan di Bandung itu.

Dalam tweet tersebut, Persib mengucapkan selamat datang kepada Essien sambil menunjukkan jersi yang akan disarung Essien.

Essien sebelum ini pernah dikaitkan dengan pasukan Melbourne Victory di penghujung musim lalu selaku pemain bintang jemputan.

Namun, urusniaga itu tidak berhasil dan dia seterusnya dikaitkan dengan pasukan juara Thailand, Muangthong United yang juga tiada persetujuan.

Dengan menyertai Persib, Essien akhirnya berjaya menyertai pasukan selepas kali terakhir bermain untuk pasukan Greece, Panathinaikos pada September 2016 yang lalu.

Essien hadiah ulang tahun Persib

Pengurus Persib, Umuh Muchtar telah menyatakan bahawa dia akan memperkenalkan Essien secara rasmi hari ini.

Dalam kenyataanya kepada CNN Indonesia, dia berkata: “Hari ini kami akan umumkan. Ini adalah hadiah untuk semua. Dia (Essien) merupakan pemain yang bagus dan bertaraf dunia.”

Essien telah diperkenal dalam satu majlis rasmi untuk memperkenal skuad Persib bagi saingan Liga 1 2017 dan sempena ulang tahun Persib yang ke-84.

Photo credit: Bali.tribunnews.com

Essien telah beraksi sebanyak 58 kali untuk Ghana dan bermain di tiga kejohanan Piala Dunia iaitu di Jerman 2006, Afrika Selatan 2010 dan Brazil pada tahun 2014.

Bersama Chelsea, Essien telah memenangi dua trofi Liga Perdana Inggeris, empat Piala FA, satu Piala Liga dan Liga Juara-Juara pada tahun 2011-12.

Persib cuba dapatkan pemain timnas

Bermain di Persib pastinya menjadi satu perkara baru buat Essien dan pastinya dia akan menggemari suasan dan sokongan penyokong Persib di Liga Indonesia.

Persib yang merupakan antara pasukan dengan pengikut yang ramai di Liga Indonesia pernah menjuarai liga pada tahun 2014.

Bekas pemain Adelaide United dan Brisbane Roar, Sergio Van Dijk serta dua lagi bekas pemain liga Australia, Marcos Flores dan Diogo Ferreira turut bermain untuk pasukan yang berpengkalan di Bandung itu.

Persib juga dikhabarkan sedang dalam peringkat akhir mendapatkan pemain kebangsaan Indonesia, Raphael Maitimo.

Other posts by