Football

“Saya boleh bantu promosi bolasepak Indonesia” – Essien

Di saat pemain-pemain bertaraf dunia yang lain memilih untuk ke China dan Amerika Syarikat, Michael Essien memilih untuk bermain di Indonesia dan menyertai Persib Bandung.

Perkara ini menjadi persoalan ramai pihak mengenai mengapa bekas pemain Chelsea itu memilih untuk bermain di Indonesia dan bukan di negara lain di Asia.

Apa alasan Essien pilih Persib

Pemain berusia 34 tahun itu menjelaskan mengenai mengapa dia memilih untuk menyertai Persib ketika diperkenal kepada peminat di Graha Persib, Jalan Sulanjana pada hari Selasa.

Dalam kenyataannya yang dipetik dari Kompas.com, bekas pemain Chelsea dan Real Madrid itu menyatakan bahawa dia telah dihubungi beberapa kelab Asia lain namun memilih untuk menyertai Persib.

“Saya pilih Persib kerana kelab ini memberi tawaran dan menjelaskan kepada saya mengenai bolasepak Indonesia dan apa itu Persib. Itu yang menjadi dasar saya menerima tawaran ini.

“Saya menerima banyak tawaran dari negara lain seperti Turki, Australia, dan saya tidak menyertai mereka. Dan tiba-tiba Persib datang dan menyatakan minat mereka dengan bagus dan itu alasan kenapa saya datang ke sini. Sekurang-kurangnya saya boleh membantu mempromosikan bolasepak Indonesia.

Pernah ke Indonesia

Essien sebelum ini pernah datang ke Indonesia pada tahun 2013 ketika Chelsea mengadakan perlawanan persahabatan menentang Indonesia All Stars yang dimenangi mereka 8-1. Essien menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut.

Namun, bekas pemain Ghana itu mengakui bahawa dia tidak banyak mengetahui mengenai bolasepak Indonesia tetapi akan berusaha untuk membantu meningkatkan kualiti bolasepak Indonesia.

“Saya tidak tahu banyak mengenai Indonesia. Saya cuma pernah datang ke sini bersama Chelsea. Sekarang saya sudah berada di sini dan saya akan mencuba untuk terus belajar mengenai bolasepak di negara ini.”

Kesimpulan

Essien yang dikhabarkan akan menerima gaji tertinggi di Liga Indonesia iaitu sebanyak 800,000 Euro setahun merupakan satu taruhan buat Persib.

Walaupun tidak berada di kemuncak prestasinya, kehadiran Essien membuka mata penyokong Persib dan juga peminat bolasepak di seluruh dunia mengenai Persib.

Namun, untuk mengharapkan Essien seorang untuk meningkatkan kualiti bolasepak Indonesia mungkin satu perkara mustahil. Tiada mana-mana pemain dunia yang mampu menaikkan kualiti bolasepak negara secara berseorangan.

Tetapi, sekurang-kurangnya dia mampu berkongsi pengalamannya kepada semua pemain Persib dan membantu pemain muda di sana.

Other posts by