Isteri Michael Essien beli kelab Serie C Itali

0
81
Photo credit: Graphic.com.gh

Kita sering mendengar mengenai isteri pemain bolasepak yang gemar membeli belah ketika si suami sibuk bermain bolasepak.

Tetapi di saat Michael Essien baru menyertai Persib Bandung, isteri Michael Essien telah membeli sesuatu yang sangat hebat dan tidak dijangka.

Beli kelab Itali.

Di saat isteri pemain lain membeli baju, hand bag atau alat solek, isteri Essien, Akosua Puni yang telah melakukan pembelian mengejutkan dengan membeli salah satu kelab bolasepak Itali, Como FC.

Akosua Puni, yang merupakan seorang ahli perniagaan yang berkerja keras, telah mendapatkan kelab Serie C itu dalam satu proses bidaan pada hari Khamis dengan harga USD 254,000 (RM 1,127,252).

Puni menjadi rakyat Ghana pertama yang membeli kelab di Eropah selepas mendapatkan Como FC yang telah diisytiharkan muflis pada bulan lalu

Dia telah meletakkan sasaran untuk membawa kelab tersebut kembali ke Serie B selepas mereka tersingkir pada musim lalu.

Fokus pembangunan pemain muda

Como FC telah mengumumkan perkara ini dalam satu kenyataan di laman web rasmi mereka.

“Kami berbesar hati mengumumkan kepada penduduk bandar Como, bahawa Akosua Puni, Puan Essien, adalah pemilik baru FC Como Srl.

Puni turut menyatakan bahawa mereka akan memfokuskan kepada pembangunan pemain muda dan juga skuad utama.

“Kami akan datang ke bandar ini untuk memperkenalkan diri. Kami merasa berbangga untuk berada di sini dan menyertai kelab yang mempunyai sejarah selama 100 tahun.

“Kami mahu mengucapkan terima kasih kepada kurator kami Di Michele di atas kerja yang bagus. Komitmen dan janji kami adalah untuk membangunkan skuad utama dan juga pembangunan pemain muda.

“Kami akan mencipta suasana untuk membawa Como ke Serie B secepat mungkin dan mengembangkan bakat-bakat yang ada.”

Tiga kali cuba jual kelab

Selepas tiga kali kelab tersebut cuba dijual bagi mengelakkan mereka dibubarkan, tawaran dari Puni memberikan harapan kepada pemain, pegawai pasukan dan penyokong Como FC.

Isteri bekas pemain Chelsea dan Real Madrid itu melawat kelab pada bulan lalu dan sempat dibawa melihat Stadium Sinigaglia dan Pusat Sukan di Orsenigo, tempat di mana pasukan berlatih.

Harga pembelian tidak termasuk pusat latihan dan juga jenama Calcio Como, dan kini pasukan akan dikenali dengan nama FC Como.

Como FC kini berada di tangga ketujuh Serie C selepas tersingkir dari Serie B pada musim lalu dan di landasan untuk beraksi di perlawanan playoff untuk kembali ke Serie B.