High Jump

Yap Sean Yee pecah rekod kebangsaan, lepasi had kelayakan Sukan SEA KL

Satu lagi rekod kebangsaan dipecahkan!

Nampaknya tahun ini sememangnya ramai atlet kebangsaan yang mahu mencipta nama dan memecahkan rekod kebangsaan.

Yap Sean Yee pecah rekod

Satu lagi rekod kebangsaan dipecahkan apabila Ratu lompat tinggi negara, Yap Sean Yee berjaya memecahkan rekod kebangsaan yang diciptanya sebelum ini.

Di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Setiawangsa, Sean Yee mencatat lompatan dengan ketinggian 1.81 meter sekaligus memecahkan rekod lompatan lamanya 1.79 meter.

Sean Yee yang mewakili Kuala Lumpur melakukan lompatan tersebut dalam Kejohana Lompatan, Balingan dan Jarak Sederhana Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan pada hari Ahad dan menewaskan dua pesaingnya Shahira Sazali dan M. Nanthini yang mewakili Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Lepas had kelayakan

Lompatan tersebut membolehkan Sean Yee melepasi had kelayakan yang ditetapkan untuk menyertai Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Perkara ini dinyatakan oleh ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas dalam kenyataannya seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.

““Catatan 1.81m adalah bagi tempat ketiga dalam Sukan SEA 2015 dan dia kini berjaya melepasi kelayakan yang ditetapkan.

“Keputusan rasmi telah dikeluarkan dan dia kini telah berjaya memperbaharui rekod kebangsaan lompat tinggi wanita,”

Walaupun telah memecahkan rekod kebangsaan dan melepasi had kelayakan Sukan SEA, Sean Yee tetap mahu mencuba lompatan lebih tinggi dalam kejohanan tersebut apabila mencuba ketinggian 1.82 meter di lompatan ketiganya, namun gagal.

Sean Yee yang merupakan atlet pelapis menyatakan bahawa dia sememangnya mensasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya sekitar bulan Mac atau April tahun ini serta melayakkan diri ke Sukan SEA 2017.

Kesimpulan

Ketinggian lompatan yang dilakukan oleh Sean Yee itu menyamai ketinggian pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2015 Singapura iaitu Michelle Sng Suat Li.

Melihat kepada keazaman Sean Yee, dia semestinya tidak akan berpuas hati dengan sekadar memenangi pingat gangsa. Beraksi di laman sendiri, pastinya dia mahu merangkul pingat emas di hadapan penyokong sendiri.

Sean Yee masih mempunyai satu lagi kejohanan besar iaitu Sukan Perpaduan Islam di Baku, Azerbaijan sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur. Jangan terkejut jika dia sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan dalam kejohanan tersebut.

Other posts by