Football

Lionel Messi kini dalam bentuk dadah?

Kita biasa melihat pemain bolasepak menjadi duta untuk produk atau produk yang menggunakan nama mereka.

Kita ada kasut Nike Jordan, kasut adidas khas Cristiano Ronaldo, Kasut Nike khas Ronaldinho dan…dadah Lionel Messi?

Polis Peru rampas dadah Messi

Pihak berkuasa Peru telah merampas 1,417 kilogram kokain pada hari Rabu yang lalu, dengan sebahagian besarnya mempunyai logo yang tertera gambar dan nama bintang Barcelona, Lionel Messi. Dadah tersebut dijumpai dalam bekas yang berisi sotong dan dikatakan akan dihantar ke Belgium.

Dadah tersebut dianggarkan bernilai 85 juta USD (RM 376,592,500) di pasaran menurut pihak berkuasa Peru dalam satu kenyataan akhbar.

Seorang jurucakap Pejabat Anti Dadah Polis Peru menyatakan bahawa tiada sebarang tangkapan telah dilakukan setakat ini.

“Kebanyakan dari 1,288 paket dadah tersebut disorok dan diubah bagi dilihat seakan-akan kepingan sotong dan mempunyai label ‘Messi’ berserta gambar Lionel Messi memakai jersi kelab Sepanyol, Barcelona.”

Logo untuk keaslian dadah

Logo Messi tersebut dikatakan digunakan untuk menjamin keaslian dadah oleh kumpulan yang mengedarkannya selain memastikan dadah tersebut masih di dalam bungkusan.

Bungkusan dadah tersebut dijumpai pada hujung minggu lalu selepas ianya tiba di Lima menerusi jalan darat, dan menuju ke arah barat di mana ia dikatakan akan dihantar ke pelabuhan Callao.

Ini merupakan rampasan kedua oleh pihak polis dalam tahun ini dengan rampasan pertama berlaku pada bulan Januari di mana 2044 kilogram kokain bernilai 174 juta USD yang disorok bersama asparagus dalam proses penghantara ke Amsterdam dirampas oleh pihak berkuasa.

Kumpulan yang ditahan merupakan sebahagian dari jaringan penghantar dadah antarabangsa yang menghantar bekalan dadah ke negara-negara Eropah.

Peru dipercayai menyaingi Colombia sebagai negara pengeluar daun coca terbesar di dunia. Daun coca adalah daun yang digunakan untuk menghasilkan kokain.

Corak permainan Messi sememangnya kadang kala mampu mengkhayalkan peminat dan pemain pertahanan pasukan lawan. Tetapi, pastinya dia tidak sangka dia akan menjadi punca orang ramai khayal menerusi cara yang salah.

Pastinya Messi tidak mahu dirinya dikaitkan dengan dadah seperti legenda Argentina, Diego Maradona.

Other posts by