Football

Selangor FA tandatangani ikrar bebas rasuah

Rasuah dan bolasepak sememangnya satu perkara yang perlu dipisahkan.

Sebelum ini kita telah melihat dan membaca berita mengenai penglibatan pemain dengan rasuah sehingga merosakkan pasukan dan imej bolasepak tempatan.

Ramai pemain telah ditahan ekoran masalah yang melibatkan rasuah.

Selangor tandatangani ikrar bebas rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan media semalam menyatakan bahawa Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) telah menjadi persatuan sukan pertama di Malaysia yang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) atau Corruption Free Pledge (CFP) yang diperkenalkan oleh SPRM.

Ikrar tersebut telah ditandatangani oleh presiden baru FAS, Dato’ Sri Subahan Kamal dengan diikuti oleh 15 orang exco FAS dan ketua pasukan Selangor.

Dalam kenyataan media tersebut, turut dinyatakan bahawa inisiatif itu diambil bagi memperlihat kesungguhan FAS dalam memastikan pentadbiran persatuan itu dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa yang berkaitan.

Turut dinyatakan, ikrar tersebut juga membolehkan SPRM dan FAS berkerjasama dalam memastikan tidak berlakunya gejala rasuah, mengatur perlawanan dan salah guna kuasa dalam Persatuan Bolasepak Selangor.

Apa itu IBR

SPRM dalam kenyataan tersebut menerangkan mengenai apa itu IBR.

Ikrar Bebas Rasuah adalah satu usaha baru yang diperkenal oleh SPRM yang menekankan kepada ikrar serta janji dalam kapasiti sebagai individu oleh mereka yang terlibat bagi menjunjung tanggungjawab untuk menghindari diri daripada terlibat dengan sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa sepanjang menjalankan tugas.

Inisiatif ini merupakan satu perkara yang bagus kerana menerusi IBR, pasukan boleh memantau dan berkerjasama bagi mengelakkan sebarang gejala rasuah dan mengatur perlawanan.

Kesimpulan

Setiap pasukan yang bertanding dalam liga bolasepak Malaysia perlu mengikut jejak langkah Selangor, tidak kira mereka bermain di Liga Super, Liga Perdana atau Piala FAM.

Gejala rasuah dan mengatur perlawanan perlu ditentang habis-habisan. Suatu masa dahulu, bolasepak Malaysia jatuh menjunam disebabkan gejala mengatur perlawanan ini.

Selain daripada menandatangani IBR ini, semua pasukan wajar menjemput SPRM untuk memberi penjelasan mengenai gejala rasuah dan mengatur perlawanan serta apa hukumannya kepada semua pemain, pegawai serta exco dalam pentadbiran pasukan.

Other posts by