Football

Nama Ronaldo diabadikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Madeira

Antara tanda pengiktirafan terhebat untuk seorang pemain bolasepak adalah apabila namanya diabadikan pada nama jalan, bangunan, stadium atau mungkin trofi kejuaraan.

Tetapi bagi bintang Portugal dan Real Madrid, Cristiano Ronaldo, dia berjaya mengikut jejak langkah seorang lagi bekas pemain Manchester United yang menyarung jersi bernombor tujuh, George Best apabila namanya turut diabadikan di sebuah lapangan terbang.

Nama Ronaldo di Lapangan Terbang Madeira

Penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo kini mempunyai sebuah lapangan terbang antarabangsa yang menggunakan namanya.

Lapangan terbang tersebut yang terletak di kepulauan Madeira, tempat di mana dia dilahirkan, dipenuhi tetamu dan ratusan peminat ketika majlis penamaan lapangan terbang tersebut kepada Aeroporto Cristiano Ronaldo pada hari Rabu.

Photo credit: Daily Post

Presiden Portugal dan perdana menteri terbang ke pulau tersebut dan memperkenal satu plak di pintu masuk terminal bersama Ronaldo.

Penyerang berusia 32 tahun itu merupakan wira buat penduduk Madeira ekoran kejayaan demi kejayaan yang dikecapinya. Dia telah mempunyai sebuah tugu, muzium dan hotel yang menggunakan namanya di Madeira.

“Anda tahu betapa saya begitu berbangga dengan asal usul saya, tanah tumpah darah saya,” kata Ronaldo yang menyarung suit berwarna gelap dan tali leher pada majlis tersebut.

Keputusan penukaran nama dipertikai

Di sebalik kejayaan bekas pemain Manchester United itu yang mengetuai pasukan Portugal menjuarai Kejohanan Eropah pada tahun lalu, masih ada pengkritik yang membidas keputusan menamakan lapangan terbang tersebut dengan nama Ronaldo kerana menurut mereka, ada lagi ramai tokoh bersejarah yang lebih layak.

Ronaldo mengakui bahawa jarang seorang tokoh diabadikan namanya ketika masih hidup, dan sedar ada individu yang tidak bersetuju dengan penukaran nama tersebut. Namun, Presiden Marcelo Rebelo de Sousa menyatakan bahawa penghormatan itu sah kerana ianya diputuskan oleh kerajaan yang dilantik.

Menurut Rebelo dalam ucapannya lagi, Ronaldo merupakan contoh kejayaan dan menjadi memperkenal Madeira dan Portugal di sekeliling dunia lebih baik berbanding orang lain.

Di Funchal, kerajaan tempatan menyediakan pengangkutan buat pelajar sekolah dan warga tua untuk ke majlis tersebut. Turut hadir adalah pemain dan pegawai dari kelab tempatan, Andorinha Soccer Club, tempat di mana Ronaldo mula bermain ketika berusia tujuh tahun.

Kesimpulan

Begitu hebat sekali impak Ronaldo kepada Portugal dan Madeira sehingga sebuah lapangan terbang dinamakan sempenanya.

Mungkin kita patut menamakan sebuah lapangan terbang atau menara sempena legenda bolasepak Allahyarham Mokhtar Dahari, Santokh Singh, Soh Chin Aun dan ramai lagi lagenda bolasepak kita.

Agak sedih apabila melihat nama Allahyarham Mokhtar Dahari sekadar diabadikan di sebuah jalan yang tidak diketahui ramai sedangkan namanya cukup gah untuk diabadikan sekurang-kurangnya di sebuah stadium.

 

Other posts by