Football

Carlton Cole sah sertai Persib Bandung

Tidak cukup dengan Essien, Persib terus bernafsu untuk mendapatkan pemain berstatus bintang bagi merebut kejuaraan Liga 1 Indonesia yang akan bermula pada bulan April nanti.

Sudah mendapatkan kereta kebal di bahagian tengah, Persib meneruskan misi mereka dengan mendapatkan penyerang untuk membantu Sergio Van Dijk menjaringkan gol.

Persib dapatkan Carlton Cole

Pengurus Persib, Umuh Muchtar menyatakan kepada CNNIndonesia.com bahawa Carlton Cole, bekas penyerang West Ham telah secara rasmi menyertai Persib Bandung.

“Semalam, secara rasmi kami telah mendapatkannya dengan kontrak setahun. Tapi harapannya dia akan terus bermain sehingga bersara di Persib. Bermain dengan baik dan membantu Persib menjadi juara.”

Umuh turut menyatakan bahawa penyerang berusia 33 tahun itu akan diperkenal secara rasmi kepada semua penyokong Persib pada hari ini.

“Saya akan mengadakan sidang media hari ini pada pukul 9 di Sulanjana. Cole akan bersama kami nanti.”

Jurulatih Persib, Djadjang Nurdjaman menyatakan bahawa dia bercadang untuk membawa Cole berlatih bersama pasukan pada waktu petang di Lapangan Lodaya, Bandung.

“Kami akan perkenalkan dia dengan semua anggota pasukan, kerana setiap kali latihan kita akan mengadakan perjumpaan pasukan dahulu.”

Cole akan bermain sebagai penyerang tunggal

Kehadiran Carlton Cole dalam Persib Bandung adalah sangat tepat buat masa ini kerana penyerang utama mereka, Sergio Van Dijk masih cedera.

Menurut Djadjang, buat masa ini dia melihat Cole yang menyarung jersi nombor 12 akan menjadi penyerang tunggal dalam formasi yang akan diterapkannya. Dia akan menunggu sehingga Van Dijk pulih untuk melihat jika dia akan mengubah formasinya dengan memainkan dua penyerang.

Carlton Cole yang lahir di Croydon, England pernah membuat 25 penampilan untuk pasukan Chelsea dan menjaringkan empat gol. Ketika bersama kelab London itu, dia pernah dipinjamkan ke Wolverhamtpon Wanderers, Charlton Athletic dan Aston Villa sebelum berpindah ke seteru London, West Ham United.

Bersama West Ham, Cole beraksi sebanyak 207 kali dan menjaringkan 47 gol. Selain West Ham, Carlton Cole juga pernah beraksi untuk pasukan Celtic dan Sacramento Republic sebelum berhijrah ke Bandung.

Carlton Cole pernah beraksi bersama skuad bawah 21 tahun England sebanyak 19 kali dan menjaringkan gol. Bersama skuad senior England, Cole membuat tujuh penampilan tanpa sebarang jaringan gol.

 

 

Other posts by