Guna imej miliknya untuk PES 2017, Maradona nekad saman Konami

0
Photo credit: Facebook rasmi Maradona

Peminat permainan video yang bertemakan bolasepak pastinya pernah bermain permainan Winning Eleven atau juga dikenali sebagai Pro Evolution Soccer yang turut dipanggil PES.

Bermain PES, selain daripada bermain menggunakan pemain bintang dunia yang terkini, anda juga boleh bermain menggunakan bintang-bintang legenda yang hebat seperti Pele, Hristo Stoichkov dan Maradona.

Akan tetapi, nampaknya seorang legenda bolasepak dunia tidak berkenan dengan PES yang menggunakan imej beliau.

Maradona mahu saman konami

Diego Maradona baru-baru ini telah mengumumkan bahawa dia akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Konami, pembuat permainan video bertemakan bolasepak popular, Pro Evolution Soccer (PES).

Bekas bintang Argentina itu, yang diakui oleh ramai sebagai pemain terbaik sepanjang zaman, dikatakan tidak gembira dengan penggunaan imej yang serupa dengannya dalam permainan video terbaru PES 2017.

Walaupun Maradona telah menamatkan kareernya pada tahun 1997, Maradona tetap dimasukkan dalam permainan video tersebut sebagai salah seorang legenda bersama Ronaldinho, Hristo Stoichkov dan Gary Lineker.

Avatar Maradona menampilkan seorang lelaki dengan rambut hitam yang kembang, dan berbeza dengan versi PES sebelum ini, siri kali ini menggunakan ejaan nama sebenarnya berbanding ejaa yang berbunyi seakan-akan namanya.

Umum di Facebook

Pada hari Khamis lalu, Maradona menulis di laman Facebook rasminya: “Saya mendengar bahawa syarikat Jepun Konami menggunakan imej saya untuk permainan video PES 2017.

“Malangnya, peguam saya Matias Morla akan memulakan tindakan undang-undang yang berkaitan ke atasa mereka. Saya harap ini bukan satu lagi penipuan..”

Berbeza dengan FIFA, PES tidak mempunyai hak penggunaan nama sesetengah pasukan dan terpaksa mengubah nama mereka seperti ‘Man Red’ (Manchester United) dan ‘Yorkshire Orange’ (Hull City).

Salah satu pasukan yang memberi lesen dan hak penggunaan imej serta nama di dalam PES 2017 adalah pasukan lama Maradona sendiri iaitu Barcelona, selain daripada Arsenal, Liverpool dan Borussia Dortmund.

Kesimpulan

Melihat kepada perkembangan ini dan juga sambutan peminat yang lebih menjurus kepada FIFA kebelakangan ini, pastinya satu tamparan hebat kepada Konami dan peminat PES.

Tindakan Maradona itu mungkin disebabkan penggunaan imej dan namanya oleh Konami dengan tujuan mendapat keuntungan. Atau mungkin Maradona sebenarnya lebih menggemari FIFA berbanding PES.